SHAH ALAM: 18 OGOS: Rukun Negara bukan sekadar hafalan atau bacaan ikrar semata-mata, sebaliknya perlu dihayati dan diamalkan sebagai pegangan hidup, tegas Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari menyeru masyarakat khususnya generasi muda agar menjadikan prinsip Rukun Negara sebagai asas pembentukan jati diri sejak di bangku sekolah.
"Di peringkat sekolahlah pelajar perlu dipupuk dan ditanamkan dengan rasa cintakan negara melalui usaha menjaga nama baik sekolah dan keluarga, menghormati guru dan rakan-rakan," katanya menerusi video amanat khas yang ditayangkan di seluruh sekolah sempena Sambutan Minggu Perpaduan 2025 peringkat negeri, hari ini.

Tambah Amirudin, sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62 merupakan masa terbaik untuk rakyat kembali menyemai semangat patriotisma dan memahami nilai yang membentuk negara.
Jelasnya patriotisme bukan sekadar semangat yang perlu dipupuk, malah menjadi tanggungjawab yang dituntut setiap rakyat.
"Rakyat yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara adalah rakyat yang bertanggungjawab. Negara kita tidak akan mampu berkembang dari sudut ekonomi, politik dan sosial jika rakyatnya sering terpecah dan saling curiga," katanya.
Terdahulu, sebanyak 944 sekolah di seluruh Selangor menyertai bacaan ikrar Rukun Negara yang diadakan serentak sempena sambutan tersebut.
Lafaz ikrar itu diketuai Dato’ Menteri Besar menerusi tayangan video yang dipancarkan secara langsung ke semua sekolah.
Program berkenaan melibatkan 282 sekolah menengah dan 662 sekolah rendah dengan penyertaan 980,668 murid, guru serta warga pendidik di seluruh negeri.