SHAH ALAM, 16 OGOS: Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) bakal menyajikan liputan menyeluruh dan menarik bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang bukan hanya terhad kepada atlet, malah turut meraikan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat.
Pengarang Kanan MSSB, Khairulnizam Bakeri berkata liputan SUKMA MSSB akan memberi tumpuan kepada kandungan digital interaktif melibatkan platform seperti TikTok, Facebook, Instagram dan media sosial lain khusus untuk menarik minat generasi Z dan Alfa.
"Seperti mana kita tahu tema untuk SUKMA Selangor ialah Rentak Kita Aksi Kita, jadi tema ini diperkenalkan bukan sahaja untuk atlet, tetapi juga sebagai aktiviti sukan yang diraikan semua golongan termasuk sebagai gaya hidup.
"Kami menumpukan perhatian kepada liputan digital dan media sosial, termasuk aksi di belakang tabir serta siaran langsung," katanya ditemui pada Majlis Pelancaran SUKMA Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini, malam tadi.
Beliau berkata, Media Selangor akan menyiarkan pelbagai kandungan eksklusif setahun menjelang SUKMA Selangor.
"Kami sangat teruja dan menantikan setahun dari sekarang selain persiapan yang giat dilakukan untuk memberi liputan terbaik. Liputan merangkumi pertemuan dengan atlet dan persatuan sukan, serta meneliti persiapan yang dilakukan atlet negeri terutama tuan rumah, Selangor.
"Sebagai media rasmi negeri, Media Selangor juga akan menyorot kehidupan seharian atlet serta usaha mereka sebelum melangkah ke gelanggang persaingan tahun depan," ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang memberi kepercayaan kepada Media Selangor menjadi sebahagian konsortium media rasmi SUKMA 2026 yang turut melibatkan empat lagi syarikat media sebagai rakan rasmi iaitu Astro, TV Sarawak (TVS), SGTV dan Arqiva UK.
"Ini pertama kali dijalankan dalam sejarah SUKMA iaitu beberapa agensi media tempatan dan antarabangsa bergabung tenaga dengan kepakaran masing-masing.
"Di pihak Media Selangor kita menumpukan perhatian untuk kepakaran kita yang sudah lama menjalin hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan yang juga rakan rasmi bagi penganjuran SUKMA ini," katanya.
22 Julai lalu Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos manakala Para SUKMA dari 5 hingga 14 September.
Penganjuran melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri kecuali acara berbasikal trek yang diadakan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Bagi edisi kali ini, 37 sukan wajib dan tujuh sukan tambahan dipertandingkan.
