SHAH ALAM, 16 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan semula video lama insiden bendera terbalik di jentera syarikat itu pada 2020.
Menurut Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut dan mahu semua pihak berhenti menularkan semula video lama atau gambar berkaitan kejadian itu.
“Kejadian ini berlaku lebih lima tahun lalu, pada 24 Ogos 2020 di Rawang dan telah diselesaikan sepenuhnya selepas siasatan pihak berkuasa. Malah, pihak KDEBWM juga telah membuat permohonan maaf secara terbuka ketika itu.
“KDEBWM kesal dan dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang menularkan semula video lama insiden bendera Jalur Gemilang yang kelihatan terbalik pada lori syarikat kami,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM menjelaskan, dalam kejadian tersebut pengadu telah menarik balik laporan polis yang dibuat selepas disahkan ia berlaku tanpa niat untuk menghina bendera negara.
Katanya, tindakan itu susulan kenyataan saksi awam yang mengesahkan bendera itu sebenarnya dipasang dengan betul namun ikatannya terbuka ketika perjalanan sehingga menyebabkan kedudukannya berubah menjadi terbalik.
“Saksi awam tersebut juga secara sukarela telah membuat laporan polis untuk menyokong fakta ini. Malah, warna pakaian rasmi kakitangan kutipan dan lori KDEBWM di Selayang termasuk Rawang kini adalah merah dan kuning, dan bukan lagi imej biru seperti dalam video itu,” katanya.
Pada 2020, tular rakaman video berdurasi 36 saat memaparkan seorang lelaki membuat teguran kepada kontraktor dan pemandu lori sampah selepas melihat bendera dipasang secara terbalik di bahagian depan lori.
Video dilaporkan berlaku di Bandar Country Homes Rawang memaparkan pemandu lori memberi alasan bendera tersalah pasang oleh pekerja warga Bangladesh.