ad

Kes buli: Bekas pegawai kehakiman cadang turun tahun pengajian sebagai hukuman

15 Ogos 2025, 1:17 PM
Kes buli: Bekas pegawai kehakiman cadang turun tahun pengajian sebagai hukuman

KUALA LUMPR, 15 OGOS: Pelajar yang terbabit dalam kes buli di sekolah atau universiti wajar dikenakan tindakan diturunkan ke tahun pengajian lebih rendah sebagai hukuman untuk memberi pengajaran, cadang bekas pegawai kehakiman.

Abdul Hayyi Salim, yang pernah berkhidmat sebagai majistret, menegaskan hukuman sedia ada masih tidak mencukupi sehingga membuatkan pembuli tidak gentar untuk mengulangi kesalahan.

“Sebagai contoh, jika seorang pelajar tingkatan empat membuli pelajar tingkatan dua, undang-undang sedia ada mengenakan tindakan di bawah Seksyen 323.

“Jika pesalah adalah kanak-kanak, maka Akta Kanak-Kanak terpakai secara automatik boleh dikenakan hukuman alternatif.

“Namun pandangan dan cadangan awal kami ialah pembuli boleh dikenakan hukuman turun satu tahun pengajian. Sebab buli bukan sedakar isu jenayah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media menyokong Gerakan Gubal Akta Anti Buli (GAB) bersama peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdullah dan Pengarah Urusan merangkap Pakar Psikologi Kanak-Kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli.

Sebelum itu, Pengerusi GAB, Wan Azliana Wan Adnan, bersama sekumpulan aktivis mendesak kerajaan mempercepatkan penggubalan Akta Anti Buli bagi membendung gejala buli yang semakin meruncing.

Akta yang dicadangkan itu akan memberi definisi jelas berkaitan maksud buli, mengiktirafnya sebagai satu jenayah, serta menyediakan perlindungan sewajarnya kepada mangsa dan memastikan pelaku bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.