ad

Pakar: Elak lahir generasi pembuli, didik emosi anak seawal 4 tahun

15 Ogos 2025, 12:00 PM
Pakar: Elak lahir generasi pembuli, didik emosi anak seawal 4 tahun

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Emosi anak-anak perlu dididik sebaik mungkin seawal usia empat tahun bagi mengelakkan mereka menjadi generasi pembuli.

Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak CPC International, Dr Noor Aishah Rosli berkata perlakuan membuli tidak muncul secara tiba-tiba sebaliknya sudah terdidik sejak kecil.

“Kes remaja atau kanak-kanak membuli kawan-kawan ini kerana mereka kurang belajar tentang emosi. Sedangkan didikan emosi yang baik perlu dibuat sejak usia empat tahun lagi.

“Barulah anak ini akan membesar dengan rasa hormat orang lain dan tahu untuk mengasihi insan lain. Semuanya didikan dari masa kecil,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Jelas Dr Noor Aishah lagi, buli berlaku apabila wujudnya kumpulan atau lebih popular dipanggil geng dan cuba menguasai individu yang lemah.

“Geng ini tahu siapa lemah dan mereka cuba kawal orang lemah ini, ia berlaku sebab remaja atau kanak-kanak ini tiada sifat empati atau belas kasihan, jiwa dan hati mereka kering.

“Rawatan terbaik buat mereka berusia 18 tahun ke bawah ini adalah psikologi, beri pendidikan. Jika hendak hukum perlu ada ilmu dan barulah akan membentuk emosi yang baik,” katanya.

Beliau antara aktivis yang turut menyokong Gerakan Gubal Akta Anti Buli (GAB) bersama peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah dan bekas pegawai kehakiman, Abdul Hayyi Salim.

Sebelum itu, Pengerusi GAB, Wan Azliana Wan Adnan bersama sekumpulan aktivis mendesak kerajaan mempercepatkan penggubalan Akta Anti Buli bagi mengatasi gejala buli yang semakin meruncing.

Akta yang dicadang itu memberi definisi jelas berkaitan maksud buli dan menganggap perbuatan tidak bermoral itu sebagai jenayah. Tambahnya, akta tersebut juga akan memberi perlindungan sewajar kepada mangsa dan memastikan pelaku bertanggungjawab terhadap perbuatan membuli.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.