SEMENYIH, 15 OGOS: Ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai berharap punca kematian anaknya disiasat secara telus, tanpa melindungi mana-mana pihak.
Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata beliau yakin usaha undang-undang yang sedang dijalankan akan membuahkan hasil positif sekali gus mendapat keadilan sewajarnya.
“Akan ada keputusan baik untuk Allahyarham. Selain itu penting bagi kami untuk mengetahui punca sebenar kematian anaknya dengan memastikan tiada unsur salah laku yang ditutup,” katanya ditemui pemberita di kediamannya di sini, hari ini.
Terdahulu beliau sekeluarga menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa syukur atas kehadiran dan sokongan Dato’ Menteri Besar kepada keluarganya.
“Kami amat menghargai kunjungan Dato’ Menteri Besar yang mewakili Kerajaan Negeri dan sumbangan yang disampaikan.
“Kehadiran dan sokongan yang diberikan memberi kekuatan kami keluarga kami,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu.
Kematian Allahyarham Syamsul Haris yang mengambil jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) itu dipercayai ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor.