SEMENYIH, 15 OGOS: Kerajaan Negeri berharap siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya juga bersedia memberikan bantuan sepenuhnya kepada keluarga mangsa bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Sebarang bentuk kes buli yang berlaku sama ada secara fizikal mahupun bukan fizikal itu perlu dipandang serius oleh semua pihak.
“Dalam kes ini, terdapat indikasi seolah-olah berlaku sentuhan fizikal, sesuatu yang langsung tidak boleh diterima dan harus dibanteras sekeras-kerasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris di Taman Pelangi Semenyih, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor pada 28 Julai lalu.
Kematian Allahyarham Syamsul Haris yang mengambil jurusan Sains Komputer (Keselamatan Siber) itu dipercayai ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Johor.