ad

Hanya RM5, peluang pengguna tuntut gantian produk di tribunal

16 Ogos 2025, 1:00 AM
Hanya RM5, peluang pengguna tuntut gantian produk di tribunal

Seorang wanita sanggup membelanjakan kira-kira RM30,000 demi mendapatkan seutas rantai bertatahkan berlian mutiara idaman.

Semuanya gara-gara percaya pada janji manis peniaga bahawa produk itu tulen.

Kilauan memancar, tetapi bukan sinaran semula jadi yang diharapkannya. Warna mutiara itu juga pudar dan kelihatan pelik.

Nalurinya mula meragui keaslian barangan kemas itu. Beberapa biji mutiara dihantar ke makmal dan keputusan mengesahkan, ia telah diwarnakan semula.

Bayangkan, puluhan ribu ringgit melayang kerana kepercayaan yang disalah guna. Tetapi, kisah ini tidak berakhir di situ.

Wanita itu tidak sekadar diam atau pasrah.

Dengan hanya RM5, dia memfailkan aduan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Selangor.

Prosesnya ringkas, tiada peguam dan dalam beberapa bulan, dia berjaya mendapatkan kembali haknya.

Bukan kes terpencil

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey mendedahkan aduan seperti itu bukan kes luar biasa.

Malah, pihaknya menerima pemfailan tuntutan tidak berpuas hati dengan pembelian barangan dalam talian paling tinggi sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Tahun ini sahaja, lebih 90 aduan melibatkan pakaian, barang perhiasan diri, kelengkapan rumah dan aksesori.

Pemfailan tuntutan tidak berpuas hati dengan pembelian barangan dalam talian paling tinggi diterima TTPM Selangor sejak tiga tahun kebelakangan ini. - Foto BERNAMA

Sejak Januari hingga 17 Julai tahun ini, TTPM Selangor mengendalikan kira-kira 953 kes tuntutan.

Pemfailan kes berkaitan perkhidmatan ubah suai rumah (93) adalah tuntutan kedua tertinggi diikuti kes penipuan agensi pelancongan umrah dan haji (68).

Kes-kes lain pula membabitkan tuntutan perabot (29), kereta (28) dan rawatan di pusat kecantikan (26).

Bayangkan dengan bayaran serendah RM5, pengguna boleh membuat tuntutan sekiranya barang rosak, perkhidmatan tidak memuaskan atau diperdaya oleh peniaga dengan jumlah pembelian tidak lebih RM50,000.

Menariknya, tribunal ini tidak memerlukan peguam. Sesiapa sahaja boleh mendapatkan keadilan dengan kos yang sangat rendah.

“Ini memudahkan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah mendapatkan keadilan.

“Tindakan membuat tuntutan juga beri pengajaran kepada peniaga supaya lebih bertanggungjawab dan jujur,” kata Mohd Zuhairi.

Trend meningkat

Di Selangor, sebanyak 1,549 aduan dibuat pada 2023. Tahun berikutnya pemfailan tuntutan meningkat kepada 1,559 dan sehingga Julai 2025 sudah mencecah 953 aduan.

Jika ingin buat tuntutan, dokumen sokongan seperti resit, invois, gambar atau perjanjian yang berkaitan perlu ada.

Selesai penyerahan dokumen, notis pendengaran akan diberi dalam tempoh 14 hari.

Pada hari pendengaran, kedua-dua pihak dikehendaki hadir untuk memberikan keterangan serta bukti.

Keputusan akan dibuat oleh tribunal pada hari sama selepas menilai semua keterangan dan dokumen dikemukakan.

Bagaimanapun, tempoh penyelesaian kes juga bergantung kepada keadaan jika memerlukan keterangan atau saksi pakar.

“Lazimnya, kes selesai dua hingga tiga bulan bergantung kepada jumlah kes dan respons pihak terlibat. Tribunal ini amat membantu pengguna mendapatkan tebus rugi dengan cara mudah, murah dan cepat.

“Namun, pengguna juga digalakkan untuk mencuba menyelesaikan pertikaian secara rundingan terlebih dahulu sebelum membawa kes ke tribunal,” katanya lagi.

Kedua-dua pihak dikehendaki hadir memberikan keterangan serta bukti pada hari pendengaran yang ditetapkan. - Gambar hiasan

Tegas beliau, pengguna berhak menerima penghakiman adil, termasuk mendapat pampasan pembelian.

Tindakan sedemikian membuktikan bahawa pengguna sedar hak mereka di bawah undang-undang.

Pengguna yang berani menuntut hak akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya perlindungan pengguna.

Setiap tuntutan yang dibuat adalah satu langkah kecil melawan ketidakadilan.

Kadang-kadang, RM5 itu bukan sekadar wang tapi simbol maruah, keberanian dan memberi mesej kepada peniaga tidak jujur bahawa pengguna tidak mudah dipermainkan.

Langkah tuntutan:

1.Semak kelayakan — pastikan tuntutan tidak lebih RM50,000 dan tempoh kejadian tidak lebih tiga tahun

2.Sediakan semua bukti — resit, invois, gambar, perbualan WhatsApp/e-mel, perjanjian

3.Isi borang tuntutan — melalui laman sesawang ttpm.kpdn.gov.my atau hadir di pejabat TTPM

4.Bayar fi RM5 — dikenakan semasa pemfailan borang sama ada atas talian atau di kaunter

5.Hadir sesi pendengaran — tribunal tetapkan tarikh, kedua-dua perlu pihak hadir, keputusan biasanya dibuat hari sama

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.