ad

Ibu Allahyarham Syamsul Haris mohon perintah kubur anaknya digali semula

15 Ogos 2025, 6:59 AM
Ibu Allahyarham Syamsul Haris mohon perintah kubur anaknya digali semula

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor memfailkan notis usul bagi memohon perintah untuk menggali semula kubur anak lelakinya untuk menjalankan bedah siasat kedua.

Berdasarkan notis usul yang diperoleh media hari ini, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon memfailkan notis itu semalam melalui Tetuan Naran Singh & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menamakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sebagai responden.

Peguam Datuk Naran Singh, yang mewakili Ummu Haiman Bee ketika dihubungi hari ini mengesahkan pemfailan notis usul berkenaan.

Ummu Haiman Bee memohon perintah dikeluarkan kepada Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pihak berkaitan bagi mengarahkan untuk menggali keluar semula jasad Syamsul Haris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Wanita itu turut memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat terhadap jasad Syamsul Haris dalam tempoh 14 hari selepas jasad terbabit dikeluarkan dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr Bhupinder Singh dan peguam lantikan keluarga, Naran atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.

Dia juga memohon perintah mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas siasatan daripada pegawai siasatan yang terkini dan menjalankan siasatan kes kematian si mati sepertimana yang dilakukan dalam kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Turut dimohon perintah yang mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu inkues bagi menyiasat punca kematian Syamsul Haris dan lain-lain perintah atau relif yang mahkamah anggap sesuai dan adil bagi tindakan itu.

Permohonan itu difailkan atas alasan bahawa bedah siasat pertama tidak dilakukan oleh pakar forensik hospital, tetapi hanya dilakukan oleh Dr George Sixtus Fernandez Jr yang merupakan pegawai perubatan Gred UD10.

Pemohon mendakwa terdapat unsur jenayah dalam kematian Syamsul Haris apabila menerima pelbagai percanggahan pada alasan atau punca kematian anaknya selain mendakwa dia dan keluarga tidak dapat melihat keseluruhan jasad si mati ketika pemohon berada di Jabatan Forensik dan ketika jasad dimandikan serta dikafankan.

Menurut pemohon, jasad si mati juga telah dibawa keluar di dalam keranda yang tertutup dan apabila meminta agar penutup keranda dibuka, hanya bahagian muka sahaja yang dibuka dan ditunjukkan kepada pemohon.

Dalam afidavit sokongan, Ummu Haiman Bee berkata anaknya telah mengikuti satu latihan menembak pada 27 Julai lalu ketika kursus latihan PALAPES di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor sebelum menerima panggilan daripada pensyarah di UTM pada 4.33 petang, keesokannya yang memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, Johor.

Menurut pemohon, dia pergi ke hospital berkenaan pada 4 pagi, 29 Julai untuk melihat jenazah anaknya dan terdapat kesan lebam serta kecederaan pada jasad anak lelakinya itu terutama di leher, dada yang berdarah, muka dan mata kanan dengan kesan lebam hitam.

“Saya percaya kesan kecederaan di bahagian dada dan mata kanan jelas dilakukan dengan pukulan objek tumpul. Saya juga percaya darah yang mengalir dari hidung anak yang tidak berhenti sehingga jasadnya dikebumikan jelas menunjukkan bahawa anak saya telah dipukul dan mengalami kecederaan di bahagian otak dan dada.

“Saya sesungguhnya mengatakan bahawa gambar kecederaan pada anak saya jelas menunjukkan kecederaan itu diakibatkan objek tumpul,” katanya.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata Jawatankuasa Siasatan mendapati tiada unsur penderaan terhadap Syamsul Haris, yang meninggal dunia ketika mengikuti latihan di PULADA, Ulu Tiram pada 28 Julai.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.