SHAH ALAM, 15 OGOS: Sejumlah RM20,500 disumbangkan Misi Team Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Prihatin kepada mangsa terjejas insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.
Kutipan Misi Team HASiL Prihatin itu adalah hasil sumbangan peribadi melibatkan pegawai dan kakitangan HASiL seluruh negara bagi mengurangkan beban mangsa terlibat.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) HASiL Shaharrudy Othman kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Sementara itu, Shaharrudy berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban mangsa terjejas susulan letupan yang menyebabkan kerosakan teruk kediaman, infrastruktur dan sumber pendapatan.
“Kutipan ini daripada kakitangan HASiL seluruh negara sebanyak RM20,500. Ia adalah sumbangan peribadi daripada mereka sendiri.

“Kita prihatin dengan apa yang terjadi kepada rakyat Malaysia, jadi atas dasar itu kita laksanakan kutipan dan serahkan sumbangan,” katanya ditemui hari ini.
Insiden kebakaran besar yang berlaku pada 8.10 pagi 1 April lalu meninggalkan kesan yang ketara dengan membentuk sebuah kawah sedalam 32 kaki melibatkan keluasan kira-kira 70x80 kaki.
Selain mengakibatkan api menjulang tinggi, kebakaran itu menghasilkan bahang panas yang memusnahkan deretan kediaman serta harta benda termasuk kenderaan dalam radius 500m dari lokasi kejadian.