ad

Minat jadi realiti: Dua penyampai Radio MPSepang realisasi impian

15 Ogos 2025, 2:00 AM
Minat jadi realiti: Dua penyampai Radio MPSepang realisasi impian
Minat jadi realiti: Dua penyampai Radio MPSepang realisasi impian
Minat jadi realiti: Dua penyampai Radio MPSepang realisasi impian
Minat jadi realiti: Dua penyampai Radio MPSepang realisasi impian

SEPANG, 15 OGOS: Bukan semua impian memerlukan pentas besar untuk direalisasikan, ada kalanya, ia bermula dari ruang kecil yang penuh makna dan dengan ruang itu ia mampu menjadikan minat yang lama terpendam akhirnya menemukan jalan.

Menjadi suara yang mengisi ruang udara bukan sekadar tugas, tetapi juga peluang buat dua penyampai Radio MPSepang yang menjadikan konti sebagai pentas untuk merealisasikan impian mereka mendekati komuniti melalui platform radio sendiri.

Dari minat jadi realiti

Bagi Muhamad Aizuddien Muhamad Rusly, 39, minat yang mendalam terhadap dunia penyiaran sejak dibangku sekolah mendorongnya untuk mencuba nasib melalui sesi uji bakat sebagai penyampai radio.

“Alhamdulillah, pejam celik sudah setahun saya menjadi penyampai Radio MPSepang dan ia adalah pengalaman yang sangat menyeronokkan dan sukar untuk dilupakan.

Penyampai Radio MP Sepang Muhamad Aizuddien Muhamad Rusly ditemui di Radio MPSepang, Sepang pada 6 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Pada masa sama, saya juga masih dalam tempoh belajar terutamanya dari segi untuk berkomunikasi bersama pendengar,” katanya kepada Media Selangor.

Tambah beliau, sebagai penyampai radio, penting untuk mereka memberi ruang dan kerjasama kepada rakan penyampai serta bijak mengawal pertuturan supaya mesej yang ingin disampaikan adalah jelas kepada pendengar.

Penyampai, Hairul Haiyyan Abd Hamid, 38, turut berkongsi perasaan sama apabila minatnya dalam bidang penyiaran bukan sesuatu yang baharu. Sejak dahulu, beliau aktif sebagai penyampai dan menguruskan bahagian teknikal untuk majlis perkahwinan.

“Memang dah lama saya impikan untuk menjadi penyampai radio. Bila tahu tempat kerja ada radio sendiri, saya rasa sangat bangga dan ambil peluang yang ada di depan mata.

Penyampai Radio MP Sepang Hairul Hayyan Abd Hamid ditemui di Radio MPSepang, Sepang pada 6 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Penyampai radio perlu berilmu kerana kita bukan sekadar bercakap malah kita juga berkongsi pengetahuan dengan pendengar,” tambahnya.

Menurut beliau, pembahagian masa dan persediaan awal sangat penting dalam memastikan kelancaran tugasan di konti selain keserasian antara penyampai juga memainkan peranan besar dalam menjadikan sesuatu slot itu lebih menarik dan berkesan.

Radio PBT pertama Selangor

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad berkata Radio MPSepang merupakan radio atas talian pertama milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor iaitu sebagai inisiatif mendekati komuniti secara lebih segar dan interaktif.

Beliau berkata inspirasi penubuhan Radio MPSepang tercetus daripada hasil lawatan ke Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 2022 dan radio ini merekodkan lebih 22,130 pendengar setia meskipun belum dilancarkan secara rasmi.

“Radio MPSepang telah memulakan operasinya sejak 4 Ogos tahun lalu. Ia bukan hanya saluran hebahan, malah ia menjadi pencetus kepada pendekatan komunikasi yang lebih inklusif untuk mendekati rakyat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad ditemui di Radio MPSepang, Sepang pada 6 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Selain menyampaikan maklumat dan promosi berkaitan aktiviti di Sepang, radio ini juga membuka ruang untuk pegawai meningkatkan kemahiran serta mempelajari kemahiran baharu di luar bidang tugas hakiki mereka,” jelasnya.

Tambah Ani, Radio MPSepang kini digerakkan oleh dua penerbit rancangan dan sembilan penyampai terdiri daripada pegawai rentas jabatan di MPSepang sekali gus menjadikannya sebuah inisiatif dalaman yang bersifat kolaboratif.

Informasi dan hiburan seimbang

Penerbit Rancangan Radio MPSepang, Putri Fazlyen Azzaharah Mohd Fauziman berkata setiap rancangan yang disusun adalah berdasarkan isu semasa dan sambutan bulanan selaras dengan keperluan dan minat pendengar.

“Kami nak jadikan Radio MPSepang sebagai rakan pendengar yang bukan sahaja berkongsi info berkaitan PBT tetapi juga hiburan, gaya hidup dan kisah tempatan yang memberi inspirasi.

Penerbit Rancangan Radio MP Sepang Putri Fazlyen Azzaharah Mohd ditemui di Radio MPSepang, Sepang pada 6 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Antara segmen popular yang mendapat tempat di hati pendengar ialah “Tempat Menarik di Selangor”, satu program memperkenalkan pelbagai lokasi pelancongan menarik termasuk kawasan tersembunyi di daerah Sepang dan sekitarnya,” tambahnya.

Radio MPSepang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat menerusi slot pagi “Semarak Pagi” bermula dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, serta slot petang “Kopi & Susu” setiap Selasa hingga Khamis dari 3.00 petang hingga 4.30 petang.

Orang ramai boleh melayari laman web rasmi Radio MPSepang di www.radiompsepang.my atau menontonnya secara langsung di Facebook rasmi Radio MPSepang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad (kanan) ketika ditemubual di Radio MPSepang, Sepang pada 6 Ogos 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.