Baru-baru ini, tular kisah seorang artis diserang angin ahmar atau strok selepas mendakwa makan tujuh biji durian dalam tempoh sehari.
Ramai terkejut, ada yang terus percaya durian menjadi punca dan tidak kurang juga mula takut untuk menjamah raja buah itu lagi.
Tapi benarkah durian boleh menyebabkan strok? Atau ini sekadar mitos yang tersebar dari mulut ke mulut?
Dek pelbagai dakwaan yang timbul, Media Selangor mendapatkan pandangan pakar bagi merungkai kebenaran mengenai perkara tersebut.
Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan durian bukan "pembunuh senyap" seperti yang digembar-gemburkan.
Profesor Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof menjelaskan tiada bukti saintifik menunjukkan durian secara langsung menjadi punca strok.
Namun, beliau mengingatkan, bagi individu berisiko, durian yang dimakan secara berlebihan boleh menjadi "pencetus" kepada masalah kesihatan sekali gus meningkatkan risiko serangan strok.
Ini kerana isi durian mengandungi kandungan tenaga dan gula yang tinggi. Justeru berupaya meningkatkan tekanan darah dan paras gula serta gangguan ritma jantung pada pesakit buah pinggang.
"Walaupun begitu, sehingga kini tiada kajian saintifik yang membuktikan perkaitan langsung antara durian dan strok," katanya.
Beliau memaklumkan, faktor utama strok sebenarnya berpunca akibat masalah kesihatan seperti obesiti, hipertensi berpanjangan, diabetes, kolestrol tinggi, penyakit jantung, buah pinggang kronik dan tabiat merokok.
Jelasnya lagi, dalam kes tertentu durian mungkin menjadi "tekanan terakhir" pada tubuh yang sudah lama terdedah kepada risiko penyakit.
Dr Barakatun Nisak berkata pengambilan dua hingga tiga ulas sederhana (lebih kurang 100 gram) sekali makan dan tidak setiap hari, adalah selamat.
Bagi pesakit diabetes, hipertensi atau obesiti, cukup satu hingga dua ulas sahaja, dimakan perlahan-lahan dan diambil kira dalam jumlah karbohidrat harian.
Ini kerana walaupun indeks glisemik (GI) durian berada pada tahap rendah (antara 49-55), beban glisemiknya sederhana-tinggi akibat kandungan karbohidrat yang banyak.
"Sebagai contoh, makan 300 gram durian bersamaan lebih kurang 90 gram karbohidrat, cukup untuk meningkatkan gula dalam darah.
"Tambahan pula, durian mempunyai kalori tinggi (150 kcal/100 gram) yang boleh menyumbang kepada lebihan tenaga harian," katanya.

Petua
Di sebalik pantang larang, durian juga menyimpan pelbagai cerita warisan. Salah satunya, petua minum air dari pangsa untuk menyejukkan badan.
Pakar Perubatan Neurologi UPM Profesor Madya Dr Wan Aliaa Wan Sulaiman tidak menolak keberkesanan amalan tersebut.
Beliau mendedahkan kajian awal mendapati bahagian putih pangsa durian mengandungi bahan anti-radang dan antioksidan yang berupaya membantu mengurangkan rasa panas badan dan ketidakselesaan perut.
Namun, beliau menegaskan penyelidikan mendalam masih perlu dijalankan sebelum ia boleh dianggap bukti saintifik.
"Fakta yang mungkin benar tapi kajian mendalam masih diperlukan lagi untuk bukti perubatan," katanya.
Bagaimanapun orang ramai perlu mengelakkan minuman berkarbonat, kopi dan alkohol serta makanan berlemak tepu selepas makan durian.
Kombinasi tersebut boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, gangguan jantung, gastrik atau dehidrasi terutama bagi pesakit kronik.
Mereka yang mempunyai masalah kesihatan pula disaran mendapatkan nasihat pakar pemakanan bagi menentukan jumlah pengambilan durian yang bersesuaian.
Kesimpulannya, makanlah durian secara bersederhana kerana setiap kenikmatan juga datang dengan tanggungjawab menjaga kesihatan.

