SHAH ALAM, 14 OGOS: Sebanyak 200,000 penonton disasar hadir ke Grand Prix Petronas (MotoGP) 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata penganjur juga melancarkan jualan Tiket Rahmah “Beli 1 Percuma 1” selama 24 jam pada 12 Ogos ini.
"Sasaran itu boleh dicapai apabila 75 peratus tiket telah terjual setakat ini.
“Dengan 184,923 penonton pada 2024 dan sasaran 200,000 tahun ini, MotoGP Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu acara sukan utama di rantau ini.
“Kami turut memperkenalkan penambahbaikan menarik kepada peminat, termasuk festival muzik tarian elektronik (EDM) pra-perlumbaan yang pertama,” katanya dalam kenyataan.
Azhan menambah RM1 daripada setiap tiket yang dijual akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) bagi menyokong Program Pembangunan Sukan Bermotor.
MotoGP Malaysia yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada 12 Ogos lalu di TRX City Park.
Acara ini menandakan 34 tahun sejak Malaysia menyertai MotoGP global dan merupakan edisi ke-26 diadakan di SIC, menjadikannya acara sukan antarabangsa yang paling lama dianjurkan di negara ini.

Sementara itu, Hannah berkata perlumbaan itu “lebih daripada sekadar acara sukan bermotor”, menyifatkannya sebagai aset strategik negara yang memacu pelancongan, mewujudkan pekerjaan dan menyokong pembangunan belia.
“Dengan pulangan pelaburan 6.3 kali ganda dan impak ekonomi melebihi RM329 juta, acara ini terus memberikan nilai nyata kepada ekonomi dan komuniti kita,” katanya dalam kenyataan sama.
Peminat permotoran juga berpeluang memenangi motosikal Aprilia RS457 bernilai RM33,900 dalam cabutan bertuah #MalaysianGP2025 Mega Lucky Draw yang terbuka kepada pemegang tiket Grandstand.
Pemenang akan diumumkan pada hujung minggu perlumbaan, sementara tiket boleh didapati di www.sepangcircuit.com