SHAH ALAM, 15 OGOS: Ahli-ahli Parlimen menggesa agar kes buli di institusi pendidikan dipandang lebih serius dengan langkah pencegahan yang lebih kukuh, hukuman lebih berat dan ketelusan yang lebih tinggi dalam pengendalian kes.
Gesaan ini timbul susulan beberapa kes buli yang berlaku kebelakangan ini, termasuk insiden melibatkan Zara Qairina Mahathir, 13, yang meninggal dunia pada 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi di Papar, Sabah.
Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, kes buli di institusi pembelajaran wajar diklasifikasikan dan ditangani sebagai kesalahan jenayah memandangkan banyak insiden melangkaui gurauan biasa.
“Sudah tiba masanya kita anggap buli sebagai jenayah. Dulu, kita lihat ia hanya sebagai gurauan sesama kanak-kanak, tetapi kini ia meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan serius,” katanya kepada Media Selangor di Parlimen semalam.

Di Malaysia, buli tidak ditakrifkan secara khusus dalam undang-undang kerana tiada akta anti-buli khusus. Namun, perbuatan menyebabkan kecederaan atau kematian melalui buli boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan.
Dengan insiden terkini yang melibatkan mangsa dari sekolah rendah hingga universiti, serta kalangan pelatih beruniform, Ganabatirau berkata sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula hukuman sedia ada. Beliau menggesa supaya disiplin di sekolah diperketatkan dan hukuman diperberatkan, termasuk denda, memanggil ibu bapa, dan merujuk kes serius kepada polis.
Beliau juga memberi amaran agar tidak menutup kes, khususnya di universiti, serta menggesa semua institusi pengajian tinggi mewujudkan unit khas anti-buli dan menjadikan polisi lebih telus.
“Pertama sekali, tiada lagi kerahsiaan. Menyembunyikan kes hanya memberi lebih ruang kepada pembuli. Pelajar perlu diberitahu dari awal tentang hukuman yang bakal dihadapi,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyokong ketegasan kerajaan terhadap buli siber dan mahu langkah yang sama diambil terhadap buli fizikal di sekolah dan universiti.
Aduan tanpa nama bagi membendung buli
Dalam sesi Dewan Rakyat pada Selasa (12 Ogos), Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mendedahkan hanya 31 kes buli fizikal dan dalam talian direkodkan di lapan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sepanjang 11 tahun lalu, menimbulkan kebimbangan tentang isu laporan yang rendah.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, institusi pengajian tinggi wajar mengguna pakai sistem aduan tanpa nama seperti Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menggalakkan mangsa tampil membuat laporan tanpa rasa takut.

Menurut statistik SSDM KPM, kes buli yang dilaporkan di sekolah meningkat daripada 3,887 pada tahun 2022 kepada 4,994 kes dalam tempoh 10 bulan pertama 2023.
Beliau berkata, data ini menunjukkan pelajar lebih berani membuat laporan jika identiti mereka dilindungi.
“Di peringkat universiti, mesti ada sistem di mana orang boleh melaporkan tanpa sesiapa mengetahui siapa mereka. Mangsa mesti dilindungi,” kata Azli, sambil menegaskan bahawa penguatkuasaan perlu tegas dan tanpa kompromi, terutamanya bagi kes melibatkan keganasan fizikal.
Beliau menambah, tindakan disiplin boleh merangkumi penggantungan sehingga siasatan selesai. Namun, buli juga merangkumi gangguan fizikal dan dalam talian yang boleh didakwa di bawah undang-undang lain.
Azli turut menggesa supaya sistem sokongan di asrama diperkukuh, termasuk penempatan warden sepenuh masa memandangkan kejadian sering berlaku ketika ketiadaan warden sambilan. Beliau mencadangkan supaya elemen pembinaan sahsiah dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah dan universiti bagi menangani punca utama fenomena ini.
Buli sebagai penyakit sosial
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, menangani isu buli yang disifatkannya sebagai “penyakit sosial” yang menjejaskan individu dari institusi pendidikan hingga ke tempat kerja memerlukan usaha bersama.
“Ini tanggungjawab semua pihak: ibu bapa, sekolah dan universiti. Jangan saling menuding jari, sebaliknya selesaikan masalah ini,” katanya sambil menambah bahawa mangsa dan keluarga mereka mesti dilindungi apabila tampil membuat aduan.

Hassan berkata, banyak kes tidak dilaporkan atau ditutup secara senyap walaupun ada yang memburuk hingga tahap berbahaya.
Sebagai seorang peguam, beliau mengingatkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada undang-undang untuk menangani buli kerana langkah pencegahan melalui keluarga, komuniti dan pendidikan lebih berkesan, kecuali dalam kes maut di mana tindakan undang-undang tidak dapat dielakkan.
Hassan turut menyokong tindakan disiplin tegas terhadap pelaku, terutamanya di sekolah berasrama penuh dan universiti elit bagi mengekalkan standard institusi tersebut. Katanya, semakin ramai ibu bapa kini bimbang menghantar anak ke sekolah berasrama atau asrama universiti kerana takut dengan kejadian buli.
“Kita hantar mereka ke institusi pengajian tinggi untuk menimba ilmu dan membina masa depan, bukannya untuk dicederakan,” katanya.