ad

TLDM nafi video tular berlaku insiden ketegangan dengan tentera Filipina

14 Ogos 2025, 10:40 AM
TLDM nafi video tular berlaku insiden ketegangan dengan tentera Filipina

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menafikan dakwaan kononnya wujud ketegangan antara pasukan itu dengan Tentera Laut Filipina, seperti tular menerusi media sosial.

TLDM menegaskan tiada insiden seperti digambarkan berlaku dan menyifatkan kandungan video tular melalui platform YouTube berkenaan bertujuan mencemarkan hubungan diplomatik pertahanan yang telah lama terjalin antara dua negara.

“Penyebaran maklumat palsu ini berpotensi mencetuskan kontroversi, merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap peranan TLDM, khususnya dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

“Sebaran maklumat palsu seperti ini boleh menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini serta dilihat menyumbang kepada agenda politik atau strategik tertentu,” menurut TLDM dalam satu kenyataan.

TLDM kekal komited dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara dan masyarakat awam diminta untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan demi menjamin keamanan sejagat.

Video berdurasi 12 minit 51 saat itu memaparkan visual beberapa kapal perang berada di lautan dan mendakwa kapal milik TLDM dan Tentera Laut Filipina seolah-olah berada dalam ketegangan berhampiran perairan Sabah.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.