SHAH ALAM, 14 OGOS: Kemajuan kerja Projek Turapan Mega yang bermula April lalu sudah mencapai 75 peratus, dijangka selesai sepenuhnya awal September ini.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata jumlah berkenaan merangkumi kerja turapan di 81 lokasi membabitkan jalan sepanjang kira-kira 25 kilometer.
“Secara keseluruhan 125 kerja menurap dikenal pasti untuk tahun ini membabitkan RM50 juta. Setakat ini jumlah pelaksanaan berjumlah RM33 juta.

“Dijangka semua kerja turapan ini akan selesai hujung bulan ini atau awal September depan. Ini melibatkan jalan milik Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya kepada Media Selangor.
Izham berkata projek menggunakan jentera Jetpatcher dari United Kingdom itu akan mempercepatkan proses turapan tiga kali ganda selain mengurangkan tenaga kerja.
Ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi melaksana projek berkenaan yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd selaku syarikat penyelenggara jalan negeri.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan projek itu diteruskan berikutan Kerajaan Negeri yang sentiasa cakna terhadap rungutan dan laporan rakyat berhubung isu kerosakan jalan yang memberi risiko kepada keselamatan dan keselesaan pengguna.