KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan terhadap insiden serangan fizikal ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, akan dijalankan secara telus, rapi dan menyeluruh.
Beliau menegaskan pihaknya sudah mengarahkan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan serta mengelakkan budaya keganasan terus menular dalam masyarakat.
“Saya telah menghubungi Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Mohd Khalid Ismail) untuk memastikan siasatan dilakukan secara pantas dan telus. Budaya ini membimbangkan dan mesti dihentikan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian sebelum menjawab soalan asal dikemukakan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petronas dan apakah strategi Petronas menghadapi ketidaktentuan pasaran global melibatkan penjualan aset seperti di Kanada dan Brazil.
Semalam Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan anak bekas timbalan presiden PKR itu diserang dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya yang dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurun penumpang.
Rafizi yang mengesahkan kejadian itu berkata anaknya telah diheret oleh seorang lelaki dan dicucuk dengan jarum suntikan selain beliau mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam dan bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal.