SHAH ALAM, 13 OGOS: Presiden dan naib canselor Universiti Selangor (Unisel) menyifatkan kes buli sebagai perkara serius serta perlu ditangani dan dibanteras secara menyeluruh.
Prof Emeritus Datuk Dr Ir Hassan Basri berkata jenayah buli melibatkan hal undang-undang, etika, dan akhlak terutamanya kepada pelaku yang beragama Islam.

“Ini adalah isu halal haram dalam akhlak, amalan harian kita. Kalau kita lihat dalam isu buli ini, ia satu kezaliman kepada individu lain dan ia satu dosa yang bukan kecil.
“Pendidikan itu sangat penting dan ini harus dilakukan (dibanteras) daripada peringkat awal, seawal pendidikan awal kanak-kanak,” katanya selepas menerima surat pelantikan sebagai presiden dan naib canselor kelapan Unisel.

Surat pelantikan kepada pakar kejuruteraan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hassan menasihatkan mahasiswa Unisel sentiasa berpegang kepada agama dan nilai murni dalam kehidupan serta tidak melanggar batas perundangan negara.
“Sentiasalah berpegang kepada nilai-nilai agama bagi pelajar Islam. Membuli hukumnya haram dan dosa. Bagi yang bukan Islam, ia tidak beretika dan melanggar undang-undang. Semua kes buli akan disiasat pihak polis,” katanya.