SHAH ALAM, 13 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandangkan serius berhubung kejadian serangan ke atas anak bekas menteri di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, petang ini.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata pihak polis digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Perlu saya tegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak.
"Selaras dengan tanggungjawab memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor mengesahkan anak Rafizi Ramli diserang dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira 2 petang di kawasan mengambil dan menurun penumpang di pusat beli-belah berkenaan.
Menurut Datuk Shazeli Kahar, ketika kejadian mangsa dilaporkan bersama ibu dan pemandu mereka.
Mengulas lanjut, Saifuddin mendoakan agar mangsa yang kini dirawat di sebuah hospital di Selangor, segera pulih dan keluarga Rafizi tabah berdepan insiden berkenaan.
"Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis melaksanakan siasatan mengikut undang-undang," katanya.