Kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir kembali mencetuskan perhatian terhadap kes buli yang membelenggu masyarakat.
Reaksi pemimpin mencerminkan keprihatinan mendalam, dengan gesaan agar tindakan tegas, reformasi dan penambahbaikan aspek keselamatan segera dilaksanakan, khususnya di institusi pendidikan.
Media Selangor menyenaraikan reaksi beberapa pemimpin berkaitan kes buli:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (1 Nov 2024)
"Budaya samseng, buli, gangsterisme yang berlaku dalam sistem pendidikan sama ada di sekolah Cina, sekolah Tamil, maahad tahfiz, sekolah agama, ini satu kegilaan kerana kita bicara soal ilmu, tapi tiada akhlak dan nilai."
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (9 Ogos 2025)
"Anak kita di Sabah meninggal dunia ada kata jatuh, ada kata tolak, ada kata sebab buli. Kita tidak pandang ringan dan kita tidak mahu ia dijadikan bahan politik. Arahan kita jelas tiada tolak ansur, tidak kira siapa sekalipun, anak menteri atau sesiapa sahaja, saya tidak peduli."

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (13 Ogos 2025)
“Kita tidak pernah mengiktiraf perbuatan buli. Ia mesti dibanteras tanpa kompromi. Isu ini perlu diperhalusi mengikut lokasi kejadian, namun kini jelas semakin banyak berlaku di sekolah asrama. Saya mahu semua sekolah di bawah Jabatan Agama Islam yang dikelola Kerajaan Negeri diberi pemantauan rapi. Kesannya terlalu serius untuk dibiarkan."

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (12 Ogos 2025)
“KPM telah umum beberapa langkah penting dalam usaha tingkat keselamatan di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya. Audit keselamatan, tambah baik sistem aduan buli, tubuh jawatankuasa reformasi keselamatan, ambil tindakan tegas gantung dan buang sekolah bagi salah laku buli dan pastikan aspek sokongan psikososial terus diperkukuhkan di setiap peringkat."

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh (11 Ogos 2025)
"KPM tegaskan kita tidak berkompromi terhadap mana-mana isu berkaitan buli dan kedua, kita takkan dan tak pernah cuba melindungi sesiapa seperti dinyatakan (melalui maklumat tular di media sosial), pada semua peringkat."

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (9 Ogos 2025)
"Tumpuan polis adalah untuk mengemas kini siasatan, mengumpul semua bukti dan dalam menjalankan tugas ini, pihak polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan kerana kita perlu berlaku adil kepada semua pihak yang terlibat termasuk keluarga arwah Zara dan pihak sekolah.”

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (9 Ogos 2025)
"Sekarang, polis boleh menjalankan siasatan kes buli berdasarkan pindaan Kanun Keseksaan yang mentakrifkan buli sebagai satu jenayan sama ada fizikal, mental atau dalam talian, ini termasuk sikap toksik seperti mendedahkan maklumat peribadi seseorang dengan niat memberi tekanan atau mendatangkan kemudaratan."

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (12 Ogos 2025)
"KPT tidak akan melindungi pelaku serta akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi kes buli yang berlaku di IPT. KPT juga komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara.”

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (13 Ogos 2025)
"Cukup-cukuplah kita reaktif hanya bila ada liputan media meluas, ada kematian, ada protes besar-besaran, realitinya ramai mangsa buli berdiam diri, tak sampai tahap sehingga membawa kematian tapi impaknya kepada maruah mereka berkekalan berpuluh-puluh tahun dan beri impak kepada pembangunan sahsiah diri."

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (9 Ogos 2025)
“Saya dimaklumkan ada ibu bapa yang anak-anaknya dibuang MRSM kerana kes buli mahu saman saya dan Mara. Saya katakan ‘Bring it on!’. Saya hendak jaga keselamatan majoriti pelajar bukan segelintir yang berlagak samseng.”