ad

Pasang peranti kesan had laju kenderaan berat mulai Oktober

13 Ogos 2025, 10:28 AM
Pasang peranti kesan had laju kenderaan berat mulai Oktober

Oleh Raja Syazwani

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan mewajibkan pemasangan Speed Limitation Device (SLD) pada semua kenderaan berat secara berperingkat mulai 1 Oktober, sebagai langkah mengurangkan kemalangan maut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke, berkata usaha itu bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya selain memastikan pemanduan kenderaan berat lebih terkawal dan mematuhi had kelajuan.

"Mulai 1 Julai juga semua tempat duduk penumpang bagi bas ekspres dan bas persiaran juga diwajibkan menggunakan tali pinggang keledar.

“Keselamatan jalan raya ini tidak boleh bermusim, ia memerlukan penguatkuasaan berterusan dan sokongan semua pihak,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menegaskan mana-mana pemandu kenderaan perdagangan yang terlibat dalam kemalangan serius atau menyebabkan kematian akan digantung lesen vokasional serta-merta.

"Sementara syarikat pengendali boleh berdepan pembatalan lesen operasi. Dalam kes kemalangan maut di Teluk Intan dan Gerik, lesen pengendali syarikat-syarikat terlibat telah dibatalkan," katanya lagi.

Tambah beliau, pasukan petugas khas yang melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang juga ditubuhkan bagi menyiasat punca kemalangan, mengenal pasti kelemahan sistemik dan mencadangkan penambahbaikan menyeluruh demi keselamatan pengguna jalan raya.

Dalam kejadian awal pagi Isnin 9 Jun lalu, 15 penuntut UPSI maut manakala 33 lagi cedera apabila bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan Perodua Alza.

Pada 29 Julai lalu, Anthony berkata kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem SLD tidak boleh berada di jalan raya berikutan tidak melepasi pemeriksaan kenderaan, selepas penguatkuasaan pelaksanaan sistem itu bermula secara berfasa mulai 1 Oktober ini.

Fasa 1 akan bermula pada 1 Okt melibatkan pengesahan kefungsian SLD bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Jan 2015 manakala fasa 2 yang akan dikuatkuasakan bermula pada 1 Jan 2026 melibatkan pengaktifan SLD dalam Electronic Control Unit (ECU) bagi semua kenderaan perdagangan yang dibina sebelum 1 Jan 2015.

Fasa 3 pula membabitkan pemasangan peranti SLD secara retrofit (dengan pengesahan JPJ) bagi mana-mana kenderaan perdagangan yang tidak dilengkapi dengan sistem berkenaan. Penguatkuasaan fasa 3 akan bermula pada 1 Julai 2026.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.