SHAH ALAM, 13 OGOS: Pegawai penyiasat kes kematian Zara Qairina Mahathir tidak mematuhi prosedur siasatan termasuk gagal memohon bedah siasat, kata polis mendedahkan laporan awal pasukan petugas khas Bukit Aman yang mengambil alih siasatan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk M Kumar bagaimanapun mengesahkan ada permohonan daripada ibu mangsa supaya bedah siasat tidak dibuat, lapor Harian Metro.
"Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan ibu mangsa, doktor, patalogi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen 'Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri' yang dikeluarkan pihak hospital," katanya.
Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memutuskan supaya inkues dijalankan berhubung kes kematian Zara Qairina selepas pihaknya meneliti laporan siasatan dikemukakan polis, semalam.
Menurut AGC, ia selaras dengan peruntukan di bawah Subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama jam 4 pagi pada 16 Julai lalu.
Pelajar berusia 13 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan supaya kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.