ad

Usah takut laporkan keganasan terhadap wanita

13 Ogos 2025, 8:31 AM
Usah takut laporkan keganasan terhadap wanita

SHAH ALAM, 13 OGOS: Seorang wanita yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas teman lelakinya membuat laporan polis berhubung kejadian itu bagi melindungi diri daripada sebarang ancaman keselamatan.

Menurut Niqi Arrisya,29, pihak polis mengambil maklum berhubung laporannya, namun beliau dimaklumkan tiada tindakan boleh diambil setakat ini kerana tiada insiden fizikal.

Niqi menerusi rakaman video di laman Instagram menzahirkan kebimbangan dan mendedahkan bahawa bekas teman lelaki yang didakwa berasal dari Mesir itu, mengugutnya susulan terbongkar penipuan yang lelaki berkenaan turut berhubungan dengan beberapa wanita lain dan mengambil duit daripada mereka.

“Saya sebarkan perkara ini bukan untuk diri saya sahaja. Ia bagi memastikan jika ada wanita di luar sana yang turut terkena seperti saya untuk tampil membuat laporan.

“Saya buat laporan polis untuk keselamatan tetapi dimaklumkan sebab tiada insiden fizikal berlaku, tiada apa-apa yang mereka boleh buat. Cuma mereka minta hubungi talian 999 jika dia datang ke rumah saya dan sebagainya. Tetapi perlukah saya tunggu hingga sesuatu lebih teruk terjadi?,” katanya.

Perkongsian video Niqi turut tular di beberapa platform media sosial dan menarik beberapa mangsa lain membuat perkongsian pengalaman mereka yang mendakwa turut menjadi mangsa lelaki berkenaan.

Tangkap layar beberapa wanita yang mendakwa pernah berhubungan dengan lelaki berkenaan turut dikongsi Niqi dan menyeru mereka untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyeru wanita yang berdepan ancaman keselamatan atau keganasan supaya tampil mendapatkan bantuan.

Nazreen Nizam mengakui ada mangsa yang takut tampil ke depan kerana ada di antaranya perlu berdepan sikap menyalahkan mangsa (victim blaming) daripada sesetengah pihak.

“Kita kadang-kadang masih ada cabaran dengan pihak berkuasa. Contohnya kalau ada client kita pergi balai polis nak buat laporan tapi cara polis itu uruskan kes itu macam victim blaming. Benda-benda ini masih berlaku.

“Walaupun kita selalu buat workshop dengan pihak-pihak berkuasa, memang banyak juga pihak berkuasa atau polis yang membantu cuma bukan semua. Jadi kita masih perlu menyeragamkan amalan ini supaya pihak polis dapat memberikan kerjasama yang lebih baik dan sebagainya,” katanya dalam Podcast Studio Noona terbitan Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Menurutnya, WAO sentiasa bersedia membantu mangsa keganasan rumah tangga, gangguan seksual dan sebagainya melalui pelbagai platform dengan pekerja sosial yang ditugaskan untuk membantu menguruskan kes mereka.

“Pekerja sosial akan membantu untuk menguruskan kes mereka. Maksudnya kalau nak pergi ke polis, nak buat laporan macam mana, nak pergi jumpa peguam atau dan sebagainya. Ikut pada kes lah,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.