ad

Kematian pelatih Palapes UTM: Amirudin tuntut siasatan telus, bebas unsur meragukan

13 Ogos 2025, 6:15 AM
Kematian pelatih Palapes UTM: Amirudin tuntut siasatan telus, bebas unsur meragukan

KUALA SELANGOR, 13 OGOS: Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari mahu siasatan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, 22, dijalankan secara telus dan bebas daripada unsur meragukan.

Tegasnya Kerajaan Negeri sedia membantu sebaik mungkin dan memastikan pembelaan yang sewajarnya diberikan kepada keluarga mangsa.

“Saya juga telah bertemu beberapa pihak, kita berharap siasatan akan dijalankan dengan telus dan memastikan tiada sebarang kegiatan atau unsur-unsur meragukan terhadap insiden yang melibatkan Allahyarham Syamsul.

“Kerajaan Negeri sedia membantu sebaik mungkin dan memastikan pembelaan yang sebaiknya diberikan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Peluncuran Selangor Bertadabbur 2025 di sini, hari ini.

Amirudin turut memaklumkan beliau akan menziarahi keluarga Allahyarham dalam tempoh satu atau dua hari terdekat.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, ibu kepada Allahyarham Syamsul Haris menuntut kubur anaknya digali semula bagi melakukan bedah siasat kali kedua.

Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, tuntutan itu dibuat kerana tidak yakin punca kematian anak sulung daripada tiga beradik itu disebabkan sawan seperti dimaklumkan pihak terbabit.

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, Johor dengan sebab kematian yang belum jelas serta meragukan.

Penuntut Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Sekuriti Siber UTM yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu menyertai latihan Palapes UTM bermula 26 Julai lepas dan sepatutnya dijadualkan berakhir 3 Ogos.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.