SHAH ALAM, 13 OGOS: Hutang isi rumah negara mencecah RM1.65 trilion setakat Mac, bersamaan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata lebih separuh daripada jumlah itu iaitu 61.1 peratus melibatkan pinjaman perumahan.
“Sebahagian besar hutang isi rumah datang daripada pembelian harta kediaman. Kita sedar cabaran kenaikan harga rumah, khususnya bagi penjawat awam.
”Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada isu ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krai di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Hui Ying, kedudukan kewangan rakyat kekal kukuh kerana nilai aset kewangan isi rumah pada tempoh sama berjumlah RM3.45 trilion, iaitu 2.1 kali ganda lebih besar berbanding hutang.
Beliau menjelaskan langkah kawalan turut dilaksana termasuk Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab oleh Bank Negara Malaysia sejak 2012 bagi memastikan tahap hutang kekal sejajar kemampuan membayar balik pinjaman.
Bagi menggalakkan pemilikan rumah, kerajaan meneruskan program seperti Residensi MADANI dan PR1MA untuk golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
Hui Ying turut menekankan keperluan memberi perhatian kepada kawasan berimpak tinggi kos sara hidup seperti Johor Bahru, sambil memaklumkan kerajaan akan mengkaji langkah lanjut bagi meringankan beban rakyat.