ad

Selangor cadang kerusi khas, usaha capai 30 peratus wakil wanita di Dewan Negeri

12 Ogos 2025, 1:14 PM
Selangor cadang kerusi khas, usaha capai 30 peratus wakil wanita di Dewan Negeri
Selangor cadang kerusi khas, usaha capai 30 peratus wakil wanita di Dewan Negeri

SHAH ALAM, 12 OGOS: Hanya sembilan daripada 56 kerusi Dewan Negeri Selangor diisi wanita, belum mencapai sasaran 30 peratus representasi, kata EXCO pembangunan wanita.

Anfaal Saari mencadangkan kerusi khas wanita atau Top-Up Women-Only Additional Seats (TWOAS) diperkenalkan, mengikut model di Pulau Pinang, jika kuota tersebut tidak dapat dipenuhi melalui pencalonan parti politik.

“Bagi saya, usul ini dibawa untuk kita bahaskan sama ada ia boleh dilaksanakan, dan adakah dengan menambah suara wanita, bukan sekadar pada jumlah kerusi tetapi pada kualiti penyertaan relevan serta sesuai untuk mengangkat demokrasi.

“Jika sasaran 30 peratus penyertaan wanita tidak dapat dicapai melalui pencalonan parti politik, mekanisme kerusi tambahan diperlukan supaya suara wanita, keluarga dan kanak-kanak tetap dibawa ke Dewan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, jumlah calon wanita yang diletakkan parti politik masih rendah, dan daripada jumlah itu, hanya sebahagian kecil menang kerusi di mana keadaan ini mengurangkan lagi peluang wanita untuk menduduki Dewan Negeri dan mewakili rakyat.

“Isunya ialah parti-parti politik yang bertanding meletakkan calon wanita, dan sekiranya daripada 10 kerusi yang ditandingi parti A hanya tiga calon wanita diletakkan, tetapi yang menang hanya seorang, ia mengurangkan lagi peluang untuk mewakili suara dalam Dewan Negeri.

“Sebab itu kita lihat ia bukan sahaja pindaan peraturan parti, tetapi juga kesungguhan politik. Sekiranya perkara ini boleh dilakukan secara pentadbiran, ia boleh dilaksanakan di peringkat Dewan Negeri apabila ada majoriti atau kuasa,” jelasnya.

Cadangan ini menurutnya boleh dilaksanakan melalui dua cara iaiu komitmen parti meletakkan calon wanita di kerusi strategik atau pindaan undang-undang negeri, seperti di Pulau Pinang.

“Sekiranya perubahan itu tidak berlaku di parti-parti politik, mekanisme di peringkat Dewan Negeri perlu melibatkan pindaan undang-undang, khususnya enakmen negeri, seperti yang telah dimulakan di Pulau Pinang. Namun, kita kembali kepada mekanisme sedia ada yang memerlukan pindaan berlaku di peringkat parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Sidang Wanita Selangor (Siwanis) 2025 di Dewan Annex, di sini hari ini.

Anfaal turut mengingatkan kepimpinan wanita sering diuji dengan dilema berganda, namun perlu berdiri teguh dan bijak mengimbangi persepsi serta realiti.

“Dunia luar tidak selalunya mesra pemimpin wanita. Bila tegas, kita dilabel keras dan agresif ‘bossy’. Bila berlembut, kita dianggap lemah. Siwanis membuktikan wanita tidak perlu memilih antara dua label ini. Kita memimpin dengan telus dan tulus, berintegriti, dan fokus kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Negeri Selangor Lau Weng San, menyifatkan penganjuran Siwanis amat penting kerana platform itu membolehkan isu dan masalah wanita diketengahkan ke depan dan berkesan.

“Kita harus ingat wanita merupakan 50 peratus daripada populasi di negara ini, dan menjadi tanggungjawab kerajaan serta wakil rakyat untuk mengambil berat tentang kebajikan mereka. Sebagai Dewan Negeri yang inklusif, kita memang perlu bekerjasama dan melaksanakannya,” katanya.

Siwanis edisi ketiga yang melabuhkan tirai hari ini menghimpunkan 56 perwakilan wanita dari seluruh Selangor serta wakil jemputan luar negeri, menjadikannya platform kepimpinan wanita yang bersifat inklusif dan berimpak tinggi.

Menggunakan format simulasi Sidang Dewan Negeri, program ini bertujuan mencungkil bakat kepimpinan wanita, memperkukuh pengetahuan dasar, dan melatih mereka sebagai bakal pemimpin di peringkat negeri dan negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.