ad

Selangor sedia perkukuh kerjasama Asean bina bandar inklusif, lestari

12 Ogos 2025, 10:34 AM
Selangor sedia perkukuh kerjasama Asean bina bandar inklusif, lestari

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Selangor bersedia memperkukuh kerjasama dengan negara anggota Asean dalam mempromosikan pembangunan bandar yang inklusif, lestari dan berhubung, seiring pelaksanaan pelbagai inisiatif ekonomi serta sosial transformatif di bawah rangka perancangan jangka panjang negeri itu.

Timbalan Pengarah Bahagian Pihak Berkuasa Tempatan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor Norazlina Yusof berkata Selangor komited untuk berkongsi amalan terbaik dan mempelajari pengalaman rakan serantau selaras dengan visi Asean bagi mewujudkan bandar berdaya tahan serta berteraskan rakyat.

Berucap pada sesi khas bertajuk "Thriving Together: Cities Leading the Way in Inclusion and Sustainability" yang diadakan sempena Forum Urbanisasi Lestari Asean (Asuf), beliau berkata dasar negeri digerakkan berlandaskan prinsip "tiada siapa yang tertinggal" dengan menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.

“Selangor menyumbang lebih 26 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan telah memposisikan dirinya sebagai negeri pintar, bertaraf global dan rendah karbon. Misi kami selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan agenda pertumbuhan inklusif ASEAN,” katanya.

Antara projek utama negeri itu termasuk inisiatif Pelan Rancangan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV), Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selatan Selangor (IDRISS) yang memfokuskan kepada pertumbuhan industri aeroangkasa dan pembuatan, serta Selangor Maritime Gateway (SMG) untuk memulihkan ekosistem sungai.

Norazlina turut mengetengahkan penubuhan Pusat Adaptasi Iklim Selangor (SCAC) yang dilancarkan baru-baru ini, iaitu hab tadbir urus iklim peringkat negeri pertama di Malaysia yang berperanan memacu strategi rendah karbon dan teknologi sisa kepada tenaga, sekali gus mewujudkan pekerjaan hijau dan mengurangkan beban komuniti berpendapatan rendah.

“Selangor bersedia untuk bekerjasama dengan rakan Asean. Kami telah berkongsi pengalaman, dan walaupun ia belum sempurna, kemajuan kami boleh disesuaikan.

“Kami berharap dapat meneruskan jalinan kerjasama demi masa depan serantau yang mampan,” katanya.

Selain pembangunan bandar lestari dan berhubung, beliau turut menyentuh program sosial seperti Intizam Selangor Penyayang yang menyatukan 46 inisiatif kebajikan untuk kumpulan sasar, skim perumahan mampu milik Rumah Selangor, serta perkhidmatan bas percuma SMART Selangor yang kini beralih kepada kenderaan elektrik.

Sesi khas yang dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia, Norliza Hashim itu turut menampilkan Datuk Bandar Gaziantep Turkiye Fatma Sahin, Pengarah Perancangan dan Penyelaras Pejabat Gabenor Perancangan Dasar, Kerajaan Metropolitan Tokyo, Megumi Fujita, serta Pengerusi Bersama Kumpulan Penasihat UN-Habitat, Dyan Currie.

Fatma turut berkongsi pengalaman bandar beliau dalam menangani dan memulihkan semula keadaan selepas gempa bumi dahsyat di Turkiye, menekankan kepentingan infrastruktur berdaya tahan, kesiapsiagaan komuniti dan tadbir urus bandar yang kukuh ketika krisis.

Sementara itu, Fujita menghuraikan pendekatan Jepun terhadap daya tahan seismos, dengan menyatakan bahawa peraturan bangunan yang ketat dan perancangan bandar berterusan telah mengurangkan risiko di kawasan terdedah bencana.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.