ad

Bapa didakwa sumbang mahram, rakam video lucah anak 18 tahun

12 Ogos 2025, 8:48 AM
Bapa didakwa sumbang mahram, rakam video lucah anak 18 tahun

MELAKA, 12 OGOS: Seorang juruteknik barangan elektrik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas 52 pertuduhan melakukan sumbang mahram, amang seksual fizikal dan serta merakam video berunsur pornogafi anak kandungnya sejak Mei lepas.

Bagaimanapun lelaki berusia 41 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Tambak Paya Harmoni, Melaka Tengah terhadap anak perempuannya berusia 18 tahun antara 12 Mei hingga 6 Ogos lepas sekitar 6.50 pagi hingga 7.15 pagi.

Sebanyak 17 pertuduhan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram, yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi 34 pertuduhan lain, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 14(b) dan 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, manakala Sesyen 16(1) AKSTK 2017 pula memperuntukkan penjara tidak melebihi lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.

Lelaki itu juga didakwa membuat pornografi kanak-kanak dengan merakam dua keping gambar anak kandungnya dalam keadaan tidak berpakaian, di dalam bilik air di lokasi yang sama pada 9 Julai lepas dan didakwa di bawah Sekyen 7 AKSTK 2017.

Jika disabitkan kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara selama tidak melebihi 20 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan hukuman sebat tidak kurang daripada lima sebatan.

Pihak pendakwaan diketuai Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan termasuk larangan menganggu mangsa dan saksi, melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah atas faktor kewangan, selain memaklumkan isterinya yang mengalami kemurungan akibat kes itu dan terpaksa menjual rumah serta kereta jika perlu membayar kos guaman.

Hakim Haderiah Siri kemudiannya mengarahkan jaminan keseluruhan RM90,000 dengan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan, serta menetapkan 18 Sept sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.