ad

KPM: RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang

12 Ogos 2025, 4:18 AM
KPM: RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang
KPM: RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang
KPM: RM8.4 juta diperuntuk bagi perolehan lencana Jalur Gemilang

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sejumlah RM8.4 juta diperuntukkan bagi perolehan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta murid dan pelajar di institusi pengajian di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut KPM menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, lencana itu dibekalkan kepada murid dan pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan setiap orang diberikan dua lencana Jalur Gemilang secara percuma.

"Peruntukan ini telah disalurkan kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan institusi pendidikan yang berkenaan pada Februari 2025. Peruntukan ini diselaraskan mengikut enrolmen murid dan pelajar.

"Proses perolehan dilaksanakan oleh JPN dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta institusi berkenaan melalui sistem e-Perolehan sama ada secara tender atau sebut harga tertakluk kepada peruntukan yang diterima," menurut KPM.

Ia bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai kos ditanggung kerajaan untuk membekalkan lencana Jalur Gemilang kepada semua murid di bawah institusi pendidikan KPM serta syarikat manakah yang membekalkannya.

JPN telah diberi kebenaran untuk melaksanakan perolehan mengikut zon bagi menyegerakan proses pembekalan dan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal yang layak.

91 pembekal terlibat dalam membekalkan lencana Jalur Gemilang di seluruh negara.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.