ad

200 cip kasino bernilai RM2 juta dirampas, baki RM1 juta masih dikesan

12 Ogos 2025, 3:45 AM
200 cip kasino bernilai RM2 juta dirampas, baki RM1 juta masih dikesan

KUANTAN, 12 OGOS: Polis merampas 200 daripada 300 cip kasino bernilai RM2 juta yang dicuri di Genting Highlands, Bentong, pada 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata susulan daripada laporan media Jumaat lepas, seorang lelaki tampil menyerahkan 200 cip kasino dengan setiap cip bernilai RM10,000 dibeli daripada suspek yang merupakan seorang ‘junket’.

"Mangsa yang juga seorang daripada junket di kasino itu membeli 200 cip daripada suspek di lobi Genting Grand pada 2 Ogos melalui serahan tangan tanpa sebarang perjanjian bertulis," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Polis Antarabangsa (Interpol) sedang mengesan baki 100 cip kasino bernilai RM1 juta bersama suspek yang melarikan diri melalui 'autogate' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Yahaya berkata hasil rakaman CCTV menunjukkan suspek mengambil cip tersebut lalu beredar ke tempat parkir kereta sebelum meninggalkan kasino di Genting Highlands secara tergesa-gesa dan menuju ke KLIA pada hari sama.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan daripada pengurus syarikat junket berusia 32 tahun yang memaklumkan cip kasino berkenaan dibawa lari ketika berada di sebuah bilik kasino tertutup di pusat peranginan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.