ad

STR Fasa 3 dikreditkan mulai hari ini, manfaat 8.6 juta penerima

12 Ogos 2025, 1:51 AM
STR Fasa 3 dikreditkan mulai hari ini, manfaat 8.6 juta penerima
STR Fasa 3 dikreditkan mulai hari ini, manfaat 8.6 juta penerima

SHAH ALAM, 12 OGOS: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 dikreditkan secara berperingkat kepada 8.6 juta penerima di seluruh negara mulai hari ini, melibatkan peruntukan RM2 bilion.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, bayaran STR Fasa 3 kali ini meliputi kategori isi rumah, warga emas dan bujang dengan jumlah sehingga RM650, bergantung kelayakan masing-masing.

“Jumlah penerima meningkat 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima STR Fasa 1 yang dibayar Januari lalu.

“Peningkatan ini hasil langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, permohonan terbuka sepanjang tahun membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada rakyat terpinggir.

“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada rakyat untuk mencapai kebebasan kewangan agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI," katanya.

MOF menjelaskan, pembayaran dibuat secara terus ke dalam akaun bank penerima atau secara tunai melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN), mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Bagi pemohon yang belum berdaftar dalam pangkalan data STR, mereka digalakkan membuat permohonan baharu supaya proses verifikasi dapat dijalankan bagi penyaluran bantuan pada fasa seterusnya.

Semakan kelayakan atau soalan lazim (FAQ) STR boleh dilakukan menerusi Portal Rasmi STR di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Orang ramai dinasihat berwaspada terhadap pautan palsu atau tidak sahih berkaitan STR yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.