SHAH ALAM, 11 OGOS: Sistem pendidikan Selangor yang menggabungkan semua elemen antaranya sukan dengan pembelajaran mampu menghasilkan pelajar cemerlang.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata keseimbangan yang dilakukan secara konsisten itu akan mampu melahirkan tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang seterusnya memberi kesan positif kepada pembangunan.
“Kita sedar sistem pendidikan di negeri ini sangat baik dengan menggabungkan semua elemen diperlukan untuk menghasilkan pelajar yang baik.
“Ini akan melahirkan ramai pelajar yang berdaya saing yang akan membawa dan mengangkat produktiviti negara di masa hadapan,”katanya merasmikan Kejohanan Golf ASHURA 2025.
Berlangsung di Kelab Golf Amverton Cover, Kuala Langat, kejohan kali kedua itu menarik penyertaan 66 pemain terdiri dari kalangan bekas pelajar selain sektor korporat.
Sementara itu Najwan berkata beliau gembira melihat pertandingan yang berjaya mengumpul bekas pelajar sekaligus memelihara ukhwah dan silaturrahim.
“Program seperti ini juga akan memperkasa kehidupan aktif,” katanya.