ad

Tawaran nombor pendaftaran SIS, sempena Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor

11 Ogos 2025, 12:37 PM
Tawaran nombor pendaftaran SIS, sempena Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor

PUTRAJAYA, 11 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menawarkan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) siri “SIS” untuk bidaan awam bermula 15 hingga 19 Ogos ini, sempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 2026.

JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan siri "SIS" merupakan singkatan kepada Sultan Idris Shah menandakan penghormatan kepada Sultan Selangor kesembilan dan meraikan pemerintahan baginda sejak 2001.

JPJ memaklumkan bidaan akan dijalankan secara dalam talian melalui Sistem JPJeBid mengikut terma dan syarat sedia ada.

“NPI ‘SIS’ akan mula dibuka untuk bidaan kepada orang awam pada 15 Ogos (Jumaat) dan tarikh tutup pada 19 Ogos (Selasa) pada 10 malam,” menurut kenyataan itu.

JPJ memaklumkan keputusan bidaan ialah pada 20 Ogos (Rabu).

“Mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Istana Selangor memaklumkan bidaan NPI itu juga bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Disember.

Menurut hantaran itu, kaedah penawaran secara bidaan itu tertakluk kepada terma dan syarat sedia ada yang telah ditetapkan melalui Sistem JPJeBid, manakala harga bidaan mengikut harga minima yang telah ditetapkan JPJ.

“JPJ akan menjadi satu-satunya entiti yang akan menguruskan penjualan NPI ini dan tiada pihak ketiga terlibat dalam proses berkaitan,” menurut hantaran itu.

Hantaran itu memaklumkan sebahagian hasil jualan NPI bakal disalurkan ke sebuah yayasan di bawah naungan Sultan Selangor untuk digunakan bagi tujuan aktiviti kebajikan termasuk biasiswa, selain dana kecemasan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Yayasan itu kelak akan dipengerusikan Ahli Dewan Diraja Selangor yang juga bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Muhammad Ibrahim dan diuruskan tertakluk kepada prosedur serta tadbir urus yang telus,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.