ad

Usaha bersih Sungai Klang beri nafas baharu kepada nelayan, sampah makin berkurang

14 Ogos 2025, 2:00 AM
Usaha bersih Sungai Klang beri nafas baharu kepada nelayan, sampah makin berkurang
Usaha bersih Sungai Klang beri nafas baharu kepada nelayan, sampah makin berkurang
Usaha bersih Sungai Klang beri nafas baharu kepada nelayan, sampah makin berkurang
Usaha bersih Sungai Klang beri nafas baharu kepada nelayan, sampah makin berkurang

KLANG, 14 OGOS: Usaha Kerajaan Negeri memelihara Sungai Klang supaya lebih bersih dan bebas sampah sejak puluhan tahun menerima reaksi positif nelayan.

Ketua Pangkalan Nelayan Sungai Sireh Tambahan, Satarudin Kamal, 56, berkata langkah pembersihan yang dilaksana itu kini menampakkan hasil ketara dengan pengurangan sampah sekitar 80 peratus.

"Jika hendak dibandingkan dulu, hendak lalu pun susah...nampak sampah sahaja, apatah lagi pada waktu malam. Usaha pembersihan dilihat sejak 2012 dan seterusnya apabila diambil alih Landasan Lumayan Sdn Bhd pada 2016 semakin baik.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Sireh, Satarudin Kamal, 56, ketika ditemui di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 9 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Hendak cakap bersih sepenuhnya tidak boleh kerana sampah yang ada di Sungai Klang berpuluh tahun. Hendak bersih perlukan jangka masa panjang tetapi ada perubahan, berlaku pengurangan antara 70 ke 80 peratus," katanya.

Ditemui Media Selangor, beliau berkata lambakan sampah terlalu banyak mengakibatkan bot nelayan mengalami kerosakan sekali gus memberi kesan kepada pendapatan harian.

Jelasnya, bot nelayan mengalami kerosakan seperti injap rosak, kotak gear pecah serta kipas bengkok kerana sampah tersangkut atau terlanggar kayu.

"Akibat kerosakan nelayan terpaksa menanggung kerugian bukan ratus tetapi puluh ribu...bergantung pada kerosakan dialami. Jika rosak teruk, kos pembaikan juga tinggi... makin besar kuasa enjin makin mahal.

"Selain nelayan terpaksa tanggung kos kerosakan, lambakan sampah mengakibatkan hasil tangkapan berkurangan kerana ekosistem pembiakan ikan rosak ditimbus sampah," katanya.

Bagi Jafri Judin, 57, pihaknya bersyukur inisiatif diambil Kerajaan Negeri dalam memastikan Sungai Klang terus bersih memberi kesan positif.

"Alhamdulillah, Sungai Klang kini semakin bersih, nampak perubahan dengana adanya Interceptor, perangkap sampah dan aktiviti gotong-royong yang dilaksana pelbagai pihak.

Jafri Judin, 57, ditemui di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 9 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Sampah semakin kurang dan air juga semakin bersih kecuali ketika hujan lebat. Apabila sampah banyak, bot rosak dan kos pembaikan terlalu tinggi, tidak setanding dengan hasil tangkapan," ujarnya.

Berkongsi pengalaman, Jafri berkata akibat sumber pendapatan terjejas, anak-anaknya pernah tiada wang belanja ke sekolah dan juga dihalau kerana gagal membayar sewa rumah mengikut tempoh ditetapkan.

"Isteri suri rumah dan hanya saya keluar mencari rezeki di laut. Pada waktu itu, enjin bot mengalami kerosakan kerana tersangkut sampah di Sungai Klang dan mengambil masa untuk dibaiki.

"Dalam tempoh itu, saya hanya ikut kawan-kawan dan pendapatan terhad. Akibat kekurangan pendapatan, anak-anak tiada belanja ke sekolah dan dihalau dari rumah sewa kerana gagal bayar sewa.

"Jika diingat waktu itu, susah hendak cakap tetapi inilah yang nelayan terpaksa hadapi akibat bot dan enjin rosak kerana sampah terlalu banyak di Sungai Klang," katanya yang sudah 20 tahun menjadi nelayan.

Keadaan sampah di pintu kunci air berhampiran Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 9 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
Sukarelawan mengutip sampah di sekitar Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang pada 9 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.