ad

Lori bawa rokok dipercayai seludup bernilai lebih RM13 juta dirampas

11 Ogos 2025, 8:50 AM
Lori bawa rokok dipercayai seludup bernilai lebih RM13 juta dirampas

SEPANG, 11 OGOS: Pemandu lori dan kelindannya ditahan bersama rokok yang disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta di Plaza Tol MEX, Lebuhraya KL-Putrajaya, Cyberjaya di sini, 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kedua-dua lelaki tempatan berusia 35 dan 38 tahun itu, ditahan jam 2.30 petang ketika memandu lori bonded jenis Hino.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai kastam.

“Hasil operasi tersebut, pihak polis merampas 566 master case (satu master case mengandungi 50 karton rokok) tidak sah terdiri daripada pelbagai jenama,” katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman.

Shazeli berkata selain rokok, turut dirampas ialah sebuah lori jenis Hino, satu anak kunci lori, dua telefon bimbit dan empat helai kertas arahan penyerahan.

Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Shazeli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 (yang mana lebih besar), dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih besar), atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan maksima lima tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu sudah didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 7 Ogos dan sebutan semula kes 9 September ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.