ad

EXCO: Peruntukan naik tiga kali ganda, Selangor perkasa Orang Asli

11 Ogos 2025, 7:55 AM
EXCO: Peruntukan naik tiga kali ganda, Selangor perkasa Orang Asli
EXCO: Peruntukan naik tiga kali ganda, Selangor perkasa Orang Asli
EXCO: Peruntukan naik tiga kali ganda, Selangor perkasa Orang Asli
EXCO: Peruntukan naik tiga kali ganda, Selangor perkasa Orang Asli

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sejumlah RM7.1 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi memperkasa pembangunan komuniti Orang Asli di Selangor menerusi pelbagai inisiatif termasuk bantuan perumahan dari 2020 hingga kini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu berkata pada 2020 peruntukan bagi hal ehwal Orang Asli berjumlah RM500,000 setahun, kini ia meningkat tiga kali ganda kepada RM1.5 juta.

Jelasnya, selain bantuan perumahan iaitu program baik pulih dan bina baru rumah, inisiatif lain termasuk pembaikan infrastruktur asas dalam Kampung Orang Asli (KOA), pemasangan lampu solar, program kesihatan, kebudayaan, pendidikan dan perayaan komuniti itu.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu (tiga, kiri) meninjau lampu solar yang dipasang di Kampung Orang Asli Bukit Bangkong di Sungai Pelek, Sepang pada 30 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Kita membina rumah baharu atau (baik pulih) rumah yang telah usang, tidak boleh diguna pakai, tidak boleh duduk. Pemohon itu mesti layak antaranya betul-betul susah, B40 dan sebagainya.

“Bila Kerajaan Negeri mewujudkan portfolio untuk Hal Ehwal Orang Asli, ini menampakkan betapa Selangor peduli dengan masyarakat Orang Asli di negeri Selangor ini,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Hanis Kaseh, 21, dan suami Haris Othman, 26 serta dua anak mereka dihadapan rumah baharu yang diterima melalui program bina baru rumah Orang Asli Hulu Selangor di Kampung Orang Asli Gurney, Hulu Selangor pada 23 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pendidikan ubah hidup keluarga Orang Asli

Tambah Papparaidu, kebajikan Orang Asli tidak terhad kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi aspek pendidikan dan kesihatan yang diberi perhatian sewajarnya.

“Saya percaya belenggu kemiskinan dapat diatasi sekiranya salah seorang dalam keluarga orang miskin ini dapat pendidikan sempurna sekurang-kurangnya Diploma atau Ijazah.

“Sebab itu saya syaratkan kepada semua Tok Batin, pastikan anak-anak Orang Asli sekurang-kurangnya lengkapkan peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Selepas itu kita memang bantu di peringkat Negeri dan juga Persekutuan dengan pelbagai bantuan untuk Ijazah, PhD dan sebagainya,” katanya.

Peguam, Nur Liah Asul ketika ditemubual di Messrs Tun Saiful & Co di Seksyen 13, Shah Alam pada 21 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Jelasnya, antara bantuan berkaitan pendidikan termasuk wang saku RM4.00 sehari kepada pelajar tingkatan satu hingga lima, bantuan pakaian seragam sekolah kepada murid tahun satu dan tingkatan satu.

“Selain itu, bantuan biasiswa kepada pelajar yang memasuki IPTA, yuran pelbagai, pengangkutan pelajar sekolah dan program motivasi pelajar,” katanya.

Hospital Orang Asli jadi tumpuan, sedia kemudahan terbaik

Bagi menjamin penjagaan kesihatan Orang Asli, Hospital Orang Asli Gombak masih lagi beroperasi, menjadikan Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang masih mengekalkan hospital untuk komuniti itu yang dibuka sekitar 1960.

“Kita boleh berasa bangga, di seluruh Asia Tenggara, kita salah sebuah negara yang masih mengekalkan hospital Orang Asli di Gombak di bawah kawalan Kementerian Kesihatan. Staf di sana memang begitu prihatin. Hospital ini bukan seperti hospital biasa, ia sedikit konvensional.

“Ada yang datang dari Perak, Pahang Kelantan dan sebagainya mereka tinggal di sana apabila ada ahli keluarga sakit. Jadi staf di hospital akan santuni keluarga pesakit sekali.

“Kerajaan Negeri juga ada bantu pelbagai aspek, cuma ada beberapa perkara perlu perhatian serius seperti keperluan pemodenan dalam pelbagai aspek seperti mesin dan peralatan perubatan lebih moden,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus memperkukuh agenda pembangunan komuniti Orang Asli secara menyeluruh menerusi cadangan peruntukan dalam Belanjawan Selangor 2026.

“Fokus saya dalam bajet yang akan datang ini adalah untuk meningkatkan kemudahan jalan raya, jambatan, elektrik, internet dan air bersih di Kampung Orang Asli. Ini boleh meningkatkan taraf kehidupan mereka dengan begitu sempurna,” katanya.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli V Papparaidu menghulurkan sumbangan wang tunai kepada pesakit ketika lawatan kerja di Hospital Orang Asli Gombak pada 29 Mei 2025. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.