ad

Wanita warga asing baru dua hari kerja antara 54 individu ditahan

11 Ogos 2025, 1:01 AM
Wanita warga asing baru dua hari kerja antara 54 individu ditahan

IPOH, 11 OGOS: Baru sempat mengumpul komisen kira-kira RM100 selepas dua hari bekerja, seorang wanita warga Thailand ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana menyalahgunakan pas lawatan bagi tujuan bekerja di rumah urut.

Wanita berusia 25 tahun itu baru tiga hari sampai ke negara ini dengan menaiki bas dari Bangkok melalui Hatyai dan masuk melalui sempadan utara.

Dia antara tiga suspek yang kesemuanya warga Thailand yang ditahan imigresen dalam serbuan Op Gegar melibatkan JIM Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi di sebuah rumah urut di Tambun di sini.

Pengarah JIM Perak Datuk James Lee pada sidang media berkata dalam serbuan serentak di 13 lokasi di sekitar Ipoh itu, 54 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan, dengan pecahan 48 warga Thailand, dua warga Indonesia dan empat warga Vietnam.

Lee berkata kesemua suspek ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Fokus kita pada malam ini adalah untuk membanteras kegiatan tidak bermoral khususnya di pusat urut. Pegawai risikan membuat risikan selama 14 hari dan saya telah arahkan pegawai penguat kuasa untuk buat serbuan (malam tadi).

"Kebanyakan mereka datang sini menggunakan pas lawatan sosial, dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (kerana bekerja)," katanya sambil menambah 91 pegawai dan anggota JIM terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata ada suspek terbabit menawarkan perkhidmatan dibawa pulang ke rumah pelanggan, selain menggunakan aplikasi TikTok serta WhatsApp bagi menarik perhatian pelanggan dengan bayaran antara RM50 ke RM100 untuk setiap perkhidmatan.

Seramai 54 pelanggan lelaki tempatan dan warga asing turut ditahan dengan mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan lanjut serta dipanggil sebagai saksi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.