ad

Bangunan di Selangor akan diwajib pasang peranti AED

11 Ogos 2025, 1:00 AM
Bangunan di Selangor akan diwajib pasang peranti AED
Bangunan di Selangor akan diwajib pasang peranti AED

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pengumuman tarikh penguatkuasaan pemasangan defibrilator luaran automatik (AED) di semua bangunan baharu di Selangor akan dibuat dalam tempoh terdekat.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata bagi bangunan sedia ada, pemasangan akan dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan sebaik sahaja dasar tersebut berkuat kuasa.

“Kerajaan Negeri amat menggalakkan pemilik bangunan, badan pengurusan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengambil inisiatif menyediakan AED di premis masing-masing, termasuk yang diwajibkan.

“Badan pengurusan juga perlu memastikan kakitangan mereka terlatih menggunakan AED dan melakukan prosedur CPR (resusitasi kardiopulmonari) sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya kepada Media Selangor.

Jamaliah berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Menurutnya, badan pengurusan bangunan akan diwajibkan melantik seorang pegawai bertanggungjawab serta mengemukakan maklumat mengenai kemudahan AED di kawasan mereka kepada pihak berkuasa tempatan untuk tujuan pemantauan.

“Maklumat ini termasuk lokasi AED, gambar dan status penyelenggaraan,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, Jamaliah memaklumkan Selangor akan mewajibkan bangunan baharu dilengkapi AED bagi memperkukuh tindak balas kecemasan dan menyelamatkan nyawa.

Beliau berkata Kerajaan Negeri kini sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan.

AED ialah peranti mudah alih yang menggunakan bateri, berfungsi memberikan renjatan elektrik kepada pesakit yang mengalami serangan jantung untuk mengembalikan degupan jantung normal.

Sejak Februari lalu, AED telah dipasang di bangunan Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat milik kerajaan negeri di seluruh Selangor.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.