SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda Gombak, Petaling serta Hulu Langat hingga 9 malam ini.
MetMalaysia menerusi Facebook memaklumkan, cuaca sama dijangka berlaku di seluruh Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Labuan selain beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah.
Jelas MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.