ad

Nyawa anak bukan statistik, Maszlee gesa lima langkah segera kekang buli di sekolah

10 Ogos 2025, 8:41 AM
Nyawa anak bukan statistik, Maszlee gesa lima langkah segera kekang buli di sekolah

SHAH ALAM, 10 OGOS: Lima langkah segera perlu dilaksana termasuk menyediakan platform aduan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) selain memperkukuh sistem sokongan psikososial bagi mengekang budaya buli di sekolah.

Tegas mantan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, kes kematian Zara Qairina Mahathir mesti menjadi titik perubahan agar nyawa anak-anak lain tidak menjadi angka dalam laporan polis atau statistik kementerian.

Menurutnya, platform aduan digital yang mudah diakses melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) atau aplikasi khas dipantau guru, membolehkan murid membuat aduan secara selamat dan teknologi AI dapat memberi amaran awal serta panduan mencegah insiden buli.

“Kes ini bukan sekadar berita. Ia adalah tamparan kepada kita sebagai masyarakat bahawa seorang murid boleh hilang nyawa di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuknya iaitu sekolah.

“Sebagai bapa, pendidik dan mantan Menteri Pendidikan, saya tidak boleh diam. Kes Zara mesti menjadi titik perubahan. Kita tidak boleh biarkan nyawa anak-anak kita menjadi angka di dalam laporan polis atau statistik kementerian,” katanya di Facebook.

Jelas Maszlee, langkah lain termasuk sistem sokongan psikososial di semua sekolah termasuk menambah bilangan kaunselor dan warden asrama sepenuh masa.

“Selain itu, latihan wajib untuk guru dan staf sekolah bagi mengenal pasti tanda awal buli, penderaan dan tekanan emosi dan membudayakan konsep ‘jika nampak atau dengar buli, laporkan segera’.

“Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan semua institusi berasrama mesti jadikan penghapusan budaya buli sebagai penilaian prestasi tertinggi pentadbir.

“Tindakan pantas dan telus terhadap aduan buli perlu dan memastikan tiada aduan dianggap terlalu kecil. Buli adalah jenayah, di mana-mana ia berlaku dan siapa pun pelakunya,” katanya.

Sambil merakamkan takziah kepada keluarga mangsa serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat untuk memastikan keadilan tertegak buat mangsa dan keluarga katanya budaya menormalisasikan penderitaan murid di asrama harus dihenti segera.

“Kita sudah terlalu lama menormalisasikan penderitaan murid di asrama. Budaya ‘diam demi nama baik sekolah’ mesti dihentikan sekarang.

“Ini bukan soal politik. Ini soal nyawa anak-anak kita. Saya menyeru Kementerian Pendidikan, pendidik, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO), media dan seluruh masyarakat untuk bersatu memastikan tragedi ini tidak berulang,” katanya.

Penggalian semula kubur Zara Qairina di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang, Sabah selesai semalam, susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Menurut AGC terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.

Pelajar itu dibawa ke hospital terbabit selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.