SHAH ALAM, 10 OGOS: Pendakian Gunung Kinabalu oleh pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal menjadi salah satu acara kemuncak sambutan Jubli Perak bandar raya ini yang berlangsung sehingga Oktober depan.
Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata ekspedisi yang dijadualkan pada 2 hingga 6 September itu melibatkan 25 peserta, termasuk EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi, ahli majlis serta pegawai MBSA.
“Kita juga akan adakan Larian Neon Run pada 10 Oktober, acara malam yang bercahaya untuk menunjukkan semangat dan kemeriahan Shah Alam,” katanya ketika ditemui pada pelancaran sambutan Jubli Perak 25 Tahun MBSA dan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan, hari ini.
Menurut beliau, larian kali ini bertemakan kemerdekaan dengan penyertaan sekitar 10,000 peserta. MBSA juga akan memperluas program Hari Tanpa Kenderaan yang sebelum ini hanya diadakan pada Ahad pertama setiap bulan, bagi memberi lebih peluang warga Shah Alam beriadah.
