SHAH ALAM, 10 OGOS: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataan, SKMM memaklumkan kandungan berkenaan dipercayai mengandungi maklumat palsu serta bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
“Kandungan yang dimuat naik itu dikhuatiri menimbulkan kekeliruan awam dan menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
“Bagi membantu siasatan, individu terlibat telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 9 Ogos,” katanya menerusi Facebook.
Menurut SKMM, sebuah telefon bimbit dan kad SIM turut disita, dengan kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Kesalahan berkenaan memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
SKMM turut mengingatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada proses siasatan dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana dikhuatiri mengguris hati keluarga mangsa serta bercanggah dengan nilai etika.
Zara Qairina, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.