ad

UAE teruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui guguran udara

10 Ogos 2025, 4:04 AM
UAE teruskan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui guguran udara

GAZA, 10 OGOS: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu melaksanakan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui guguran udara ke Gaza sebagai sebahagian daripada inisiatif "Birds of Goodness" di bawah Operasi "Chivalrous Knight 3", lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Misi guguran udara itu dilaksanakan dengan kerjasama Jordan, serta penyertaan Jerman, Itali, Belanda dan Greece.

Bantuan yang digugurkan termasuk bekalan makanan asas untuk penduduk Semenanjung Gaza, dengan penyertaan dan sokongan beberapa institusi dan pertubuhan kebajikan di UAE. Langkah itu mengukuhkan komitmen UAE untuk menyokong rakyat Palestin dan meringankan penderitaan mereka di tengah-tengah keadaan kemanusiaan yang sukar.

Dengan operasi terbaharu itu, jumlah keseluruhan bantuan yang digugurkan melalui udara telah melepasi 3,892 tan, sekali gus menekankan komitmen teguh UAE untuk terus bersama rakyat Palestin dan menyokong usaha kemanusiaan antarabangsa yang lebih luas.

Usaha itu mencerminkan peranan kepimpinan UAE dalam menyelaras dan melaksanakan operasi bantuan antarabangsa, serta mengesahkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap kerja kemanusiaan, dengan memanfaatkan sumber dan keupayaan demi menjayakan misi kemanusiaan serta meningkatkan solidariti global dalam menghadapi krisis.

-BERNAMA-WAM

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.