ad

LLM nafi motosikal dikenakan tol, tiada perubahan kategori kenderaan

10 Ogos 2025, 2:50 AM
LLM nafi motosikal dikenakan tol, tiada perubahan kategori kenderaan
LLM nafi motosikal dikenakan tol, tiada perubahan kategori kenderaan
LLM nafi motosikal dikenakan tol, tiada perubahan kategori kenderaan
LLM nafi motosikal dikenakan tol, tiada perubahan kategori kenderaan

PUTRAJAYA, 10 OGOS: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan tiada sebarang perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol pada masa ini, termasuk bagi penunggang motosikal.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa penunggang motosikal akan mula membayar tol mulai Oktober ini seperti yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial ‘ebidmotor.com’ semalam.

Dalam kenyataan hari ini, LLM menyifatkan hantaran tersebut sebagai maklumat tidak benar yang mengelirukan orang ramai serta berpotensi mencetuskan kebimbangan tidak berasas dalam kalangan penunggang motosikal, selain menjejaskan reputasi kerajaan, Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

“Untuk makluman, syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad kini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).

“Sekiranya ujian ini berjaya, pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad,” kata kenyataan itu.

Menurut LLM objektif utama pelaksanaan sistem tersebut adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Justeru, LLM menggesa orang ramai, khususnya pengguna lebuh raya bertol, agar tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat palsu yang mengelirukan atau bersifat hasutan dan merujuk kepada sumber rasmi pihak berkuasa.

Hantaran di laman Facebook tersebut, setakat 10 pagi ini, telah menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk 2,000 komen dan 568 perkongsian.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.