Oleh Khoo Phau Liang
Gempar, geger sehutan apabila tiba-tiba arnab claim – tempoh hari kura-kura boleh menang lumba lari kerana arnab yang buat-buat tertidur. Kata arnab, dia yang sengaja mencipta kekalahan itu, semata-mata demi cerita ini diingati sepanjang zaman. Betul juga, dah berapa generasi kita anak cucu kura-kura mendengar cerita itu dihafal tular? Dah berapa generasi kita anak cucu kura-kura jadi makin galak mendaftar lumba, dan berapa generasi pula anak cucu mereka arnab-arnab tutup mata kemam mulut buat-buat berdengkur tidur di bawah pokok separuh hari menunggu kita melintasi mereka?
Tak sangka, arnab yang disangka sombong selama ini rupa-rupanya berhati emas. Selepas berabad dipermalukan, diketawakan, akhirnya terbuka hijab dan tahu juga kita cerita yang sebenar. Tapi tidak semua kura-kura macam kita. Biasalah, ada kura-kura dalam kalangan kita ini berdarah panas, masam muka tak puas hati mengomel tak henti-henti.
Tapi kita bukan nak cerita tentang perlumbaan lama tempoh hari. Kita berlapang dada tenang sahaja. Kita percaya bahawa tidak ada kebenaran mutlak di dalam hutan ini, kebenaran akhirnya terletak pada apa-apa yang kita hendak percaya. Maka kalau kita kura-kura hendak terus percaya bahawa kita boleh mengalahkan arnab, tidak ada sesiapa pun yang hendak atau boleh menghalang kita. Begitu juga dengan arnab, tidak ada masalah pun sebenarnya.
Begitulah awal-awalnya, kita ingatkan kita boleh berlapang dada menerima apa sahaja.
Dah sampai sejauh ini, moleklah kita berterus-terang, hari ini hajat kita hendak bercakap soal perkara lain. Kita rasa anda semua pun telah dengar khabar, di hutan kecil kita baru-baru ini, arnab dan kura-kura bertembung pula lawan sepak bola, apa nama…“Hadiah Sepak Pintu Majalah”, lebih kurang begitulah gamak bunyinya.
Mula-mula tak ada kejutan pun, arnab dulu yang membolosi pertahanan kura-kura, dapat satu gol yang cantik. Memang dahsyat serangan arnab ketika itu, ligat bolanya sampai habis terbalik kura-kura golek-golek di atas padang, berpinar-pinar semuanya tak sempat buat apa-apa. Begitu sahaja tamat separuh masa pertama.
Kita pun cuak sudah tengok perlawanan begini, entah kura-kura kita dapat bangkit semula entah tidak. Kita terfikir juga bagaimana strategi kura-kura kita untuk menghadapi arnab yang tangkas begitu? Bolehkah kura-kura kita memberikan saingan sengit kepada arnab? Bagaimana pula dengan arnab, barangkali serangan mereka selepas ini akan lebih ganas lagi pada separuh masa kedua nanti? Bolehkah kura-kura bertahan main sehingga ke saat terakhir? Meremang bulu roma berdebar kobar jiwa kita congok menunggu di kerusi penonton.
Separuh masa kedua bermula tidak lama selepas itu. Ada seekor kura-kura ini entah bagaimana bertuahnya nasib badan dia dapat menjaringkan gol pertama untuk pasukan kura-kura kita. Kita pun berdiri tegak beri hormat, bersorak-sorak dan bertepuk-tepuk tangan. Dalam hati berbisik, memang hidup ini aneh begitu, kadang-kadang dalam situasi paling mustahil pun boleh datang nasib yang baik, tetapi mujur jugalah, kalau tidak tentu kura-kura makan telur. Kemudian tidak lama pula sekali lagi seekor lagi kura-kura kita menjaringkan gol kedua. Kita berdiri lagi dan bertepuk-tepuk tangan, tergeleng-geleng kepala mengucap mujur alangkah bertuahnya nasib kura-kura kita. Dan kali ketiga gol dijaringkan kita baru sempat berdiri dan belum pun bersorak tepuk, sudah masuk gol keempat dan kelima, bertubi-tubi kura-kura belanja gol. Terbeliak mata ternganga mulut semua penonton, semuanya geger gelepar tak boleh duduk diam.
Habis semua jari kita hendak mengira berapa jaringan gol pasukan kura-kura, tetapi arnab masih sama, cuma satu gol sehingga kini. Hairan semua, tergaru-garu tempurung cangkerang masing-masing memikirkan bagaimana permainan ini begitu berat sebelah memihak kepada kura-kura sedangkan lawannya ialah arnab yang paling tangkas.
Ramai juga tercari-cari juga ke mana arnab menghilang. Tak nampak batang hidung selepas baru dapat satu gol. Jangankan hendak menyerang, pintu gol pun terlondeh besar-besar begitu tiada arnab yang menjaganya. Bukan main sedaplah kura-kura sekejap menanduk sekejap meniup bola masuk. Pecah rekod catatan gol kura-kura, ramai yang marah-marah, arnab buat apa sebenarnya? Kenapa arnab jadi pengecut, bila nak serang balas? Takkanlah nak lawan kura-kura pun takut?
Separuh masa kedua dah nak habis, arnab tak muncul-muncul juga. Kura-kura masih menjaringkan gol, kemenangan sudah pasti di tangan.
Kita masih di kerusi penonton, masih tak balik-balik lagi. Bukan menunggu arnab serang balas pun, cuma nak meraikan kura-kura yang menang. Kita sudah berhenti berdiri, tidak lagi bersorak tepuk. Dalam hati rasa kosong, tetapi berat pula.
Lagipun kita dah tahu kenapa arnab boleh kalah.
Arnab sebenarnya tertidur, atau kau boleh katakan sebenarnya dia sedang pura-pura tertidur sekarang. Macam lumba lari dulu-dulu juga, awal-awal arnab dah jauh memecut tinggalkan kura-kura, tapi dah dekat garisan penamat dia nak juga tunggu kura-kura di bawah pokok. Dia buat-buat tidur, biar kura-kura melintas dulu. Kali ini pun begitulah, selepas dapat satu gol, arnab pun biarkan kura-kura menang.
Kita ingatkan kita boleh berlapang dada sekali lagi menghadap kebenaran begini. Dari dulu kita dengar cerita arnab dan kura-kura, sekarang baru kita betul-betul merasai perasaan penonton yang menyaksikan perlumbaan ketika itu. Betapa terkilannya, bukan sebab kita nak memperlekehkan kemenangan kura-kura, tetapi kau bayangkan – sehari suntuk kau kena tunggu sampai kura-kura habiskan permainan, arnab pula sedap-sedap dia sahaja tidur tak risau satu apa. Apa ertinya perlawanan olok-olok begini? Bayangkan pula, mungkin kali ini seabad lagi kau nak kena tunggu, baru dapat dengar kebenaran dari pihak arnab, “Oh, sebenarnya kami arnab pura-pura sahaja tidur supaya kura-kura boleh menang!”
Hatta dalam mengetahui kebenaran, kita kura-kura masih sentiasa lambat daripada arnab. Mereka telah lama merancang, kita kura-kura yang lalai.