SHAH ALAM, 11 OGOS: Cadangan kerajaan untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan rakyat, dengan kebimbangan tertumpu kepada soal produktiviti, kesihatan dan peluang pekerjaan generasi muda.
Bagi pekerja swasta Abdul Munir Zuhari, 31, usia 65 tahun dianggap terlalu lewat untuk menamatkan perkhidmatan, terutama dengan gaya hidup dan tahap kesihatan rakyat ketika ini.

“Kalau tenaga dah berkurang, kualiti kerja pun akan terjejas. Bagi saya, 55 hingga 60 tahun lebih wajar untuk bersara,” katanya.
Pengurus kedai, Haizad Said, 40, pula bimbang peluang anak muda semakin mengecil jika jawatan terus dipegang oleh pekerja berusia.
“Anak muda lebih memahami keperluan pasaran dan bawa idea segar. Tak dinafikan pekerja lama ada kepakaran, tapi beri juga mereka peluang untuk nikmati persaraan awal,” ujarnya.
Nada sama disuarakan Mohd Sazeli Nordin, 54, yang berpendapat usia 55 tahun sudah memadai, kecuali bagi bidang kepakaran tertentu.
“Umur lebih 60 tahun sebaiknya luang masa dengan keluarga. Bagi peluang graduan muda yang mampu beri idea baharu,” katanya.
Pemandu peribadi, Muhammad Zaki, 36, pula melihat umur 58 hingga 60 tahun sebagai tempoh paling sesuai untuk bersara.

“Umur 65 terlalu lewat. Waktu itu patut digunakan untuk berehat, bersama keluarga dan jaga cucu,” ujarnya.
Namun tidak semua membantah. Peniaga, Azhar Abdullah, 38, menyokong langkah tersebut dengan syarat kesihatan mengizinkan.
“Selagi sihat, tiada masalah untuk terus bekerja. Tapi kalau sakit, lebih baik bersara awal,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan had umur persaraan wajib akan diteliti semula di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selaras dengan peralihan Malaysia kepada status negara tua dan usaha memastikan keadilan sosial.
Ketika ini, umur persaraan wajib penjawat awam ialah 60 tahun, namun pada Mei lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan ia dinaikkan kepada 65 tahun.