ad

Hujan tidak halang orang ramai lihat proses gali semula kubur Zara Qairina

9 Ogos 2025, 12:39 PM
Hujan tidak halang orang ramai lihat proses gali semula kubur Zara Qairina
Hujan tidak halang orang ramai lihat proses gali semula kubur Zara Qairina

SIPITANG, 9 OGOS: Hujan lebat tidak menghalang orang ramai hadir ke Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol di sini hari ini, bagi menyaksikan proses gali semula kubur pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir.

Bagaimanapun, tinjauan Bernama mendapati mereka tidak dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan itu difahamkan bagi memastikan proses gali semula berjalan lancar.

Pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat tiba di tanah perkuburan pada 4.56 petang.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PDRM akan menggali semula kubur Zara Qairina secepat mungkin untuk melengkapkan proses siasatan kes kematian pelajar itu susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

AGC mengeluarkan arahan itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan, selepas mendapati terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.