KUALA LANGAT, 9 OGOS: Produk khas negeri, Melon Selangor (MeloSel) yang ditanam di Pusat Pertanian Kampung Endah, Kuala Langat bakal dipertingkat pengeluarannya kepada 30,000 biji setiap musim.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata, ketika ini pusat tanaman terbesar itu mampu menghasilkan kira-kira 10,000 biji setiap pusingan tuaian.
“Penanaman melon ini semakin popular. Ladang terbesar berada di Kampung Endah, diikuti Sabak Bernam serta beberapa kawasan lain dalam skala lebih kecil.

“Kita akan terus memperluaskan penanaman ini kerana potensinya besar,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Melon Kuala Langat di Pusat Pertanian Kampung Endah, hari ini.
Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjadikan MeloSel antara buah tempatan wajib digunakan dalam pemberian bakul buah pada program rasmi, menggantikan buah import seperti epal.
“Kita mahu jadikan MeloSel sebagai produk kebanggaan Selangor, bukan sahaja untuk kegunaan harian tetapi juga sebagai barangan promosi dan cenderahati.
“Langkah ini sekali gus menggalakkan pertanian bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan petani, selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA),” jelasnya.

MeloSel merupakan salah satu projek Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) iaitu antara agenda terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) membabitkan pembangunan tanaman bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi.
Pada 3 Ogos, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Selangor komited memperkukuh sekuriti makanan negara melalui projek pertanian moden, antaranya penghasilan Melon Selangor di Felda Sungai Tengi Selatan yang menjadi contoh kejayaan sistem hidro-fertigasi bernilai tinggi.