ad

Orang ramai sokong pesalah buang sampah jalani khidmat masyarakat

11 Ogos 2025, 3:00 AM
Orang ramai sokong pesalah buang sampah jalani khidmat masyarakat

SHAH ALAM, 11 OGOS: Cadangan hukuman khidmat masyarakat untuk pesalah buang sampah kecil di tempat awam disambut baik orang ramai, yang mahu pelaku bukan sekadar membayar denda, tetapi turut merasai sendiri jerih payah menjaga kebersihan.

Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan baru-baru ini memberi kuasa kepada mahkamah menjatuhkan hukuman kerja komuniti kepada pesalah sebagai langkah yang dianggap lebih mendidik daripada hanya mengeluarkan kompaun.

Bagi pekerja swasta, Mohd Sazeli Nordin, 54, hukuman ini akan memberi rasa malu yang berpanjangan, sekali gus mengubah perangai pelaku.

Pegawai GLC, Mohd Sazeli Nordin 54. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tong sampah di tempat awam dah banyak, tapi masalahnya sikap. Kalau saya, saya suruh pelaku cuci tandas awam atau kutip sampah, biar rasa susahnya nak kekalkan kebersihan,” katanya.

Nada sama dikongsi suri rumah, Noor Azleza Mohd Noor, 44, yang percaya khidmat masyarakat mampu membentuk disiplin dalam jangka masa panjang.

Abdul Munir Zuhari, 31, pula melihatnya sebagai hukuman praktikal.

“Bagus sebab kadang-kadang orang tak bayar kompaun. Buat kerja komuniti ini lebih memberi kesan,” ujarnya, sambil menambah kawasan kediamannya kekal bersih hasil kutipan berkala lori sampah.

Namun, ada juga yang mahu hukuman diperketatkan. Muhammad Zaki, 36, pemandu peribadi dari Kg Sg Tangkas, berpendapat kerja komuniti sahaja tidak mencukupi.

Pemandu Peribadi, Muhammad Zaki, 36. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Sepatutnya denda kompaun atau saman lebih tinggi. Di kawasan saya, masih ramai buang sampah merata-rata,” katanya kesal.

Langkah ini, jika dilaksanakan, dijangka bukan sahaja membersihkan jalanan, tetapi juga membersihkan mentaliti segelintir masyarakat yang masih memandang ringan isu kebersihan awam.

Pada 19 Februari, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan mengenai cadangan melaksanakan perintah khidmat masyarakat, melibatkan pindaan terhadap Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Kementerian itu memaklumkan pelaksanaan perintah khidmat masyarakat tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam sewenang-wenangnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.