SHAH ALAM, 9 OGOS: Tragedi kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, menggemparkan negara selepas dia ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu.
Sehari kemudian, remaja berusia 13 tahun itu meninggal dunia tanpa sebarang bedah siasat dilakukan sebelum dikebumikan pada malam sama. Ketiadaan pemeriksaan forensik serta tanda lebam pada tubuh mencetuskan persoalan besar dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Desakan ibu, peguam, NGO, dan pemimpin negara akhirnya memaksa siasatan dibuka semula. Laporan awal polis yang melibatkan lebih 60 saksi dipulangkan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diperbaiki, sebelum arahan rasmi dikeluarkan agar kubur digali semula bagi menjalankan bedah.
Berikut adalah kronologi perkembangan kes dari hari kejadian setakat 3 petang hari ini:
16 Julai – Zara ditemui kritikal di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama di Papar, Sabah
17 Julai – Disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. Tiada post-mortem dilakukan sebelum pengebumian malam itu
27 Julai – Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek jamin siasatan telus; sokongan psikologi untuk keluarga dan komuniti sekolah
30 Julai – Ibu Zara, Noraidah Lamat, membuat laporan polis menuntut ekshumasi dan inkuiri rasmi; mahu penyiasatan oleh pegawai berpengalaman dari Bukit Aman
31 Julai – Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) tuntut siasatan bebas dan memantau perkembangan kes
2 Ogos – Polis umum siasatan selesai; lebih 60 saksi diambil keterangan, laporan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC)
5 Ogos – Ibu Zara buat laporan kedua berhubung lebam pada tubuh. Peguam persoal integriti siasatan kerana tiada post-mortem dan bukti seperti pakaian tidak dirampas
6 Ogos – AGC pulangkan laporan awal kepada polis dengan arahan untuk siasatan penuh
8 Ogos – AGC arah kubur digali dan post-mortem dijalankan segera
9 Ogos – Menteri Dalam Negeri sahkan polis akan gali semula kubur Zara secepat mungkin. Perdana Menteri tekankan siasatan perlu telus tanpa melindungi sesiapa
10 Ogos: Empat pakar patologi menjalankan bedah siasat termasuk pakar Perunding Patologi Forensik, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada 11 pagi. Peguam, polis turut memerhati proses bedah siasat. Prosedur selesai sebelum jam 8 malam.
11 Ogos: Jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang, jam 1.15 pagi. Terdahulu jenazah dibedah siasat selama 8 jam di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.